Wednesday, October 26, 2005

Surat Terbuka Untuk Pimpinan PKPIM 2005/2006

Oleh: Mohd Nor Zaiman Che Mansor

“Dan mereka yang berjihad pada (jalan) Kami pasti Kami berikan petunjuk kepada mereka tentang jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik.”
(Surah Al-‘Ankabut: Ayah 69)


Kehadapan sahabat-sahabat sekalian, semoga berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan senantiasa berada di bawah naungan Rahmat Ilahi. Terlebih dahulu, rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan tahniah di atas perlantikan sahabat-sahabat sekalian sebagai pemacu utama saf kepimpinan PKPIM Pusat bagi sesi 2005/2006. Sudah pastilah kelayakkan sahabat-sahabat sekalian yang meletakkan kalian berada di posisi penting pergerakan PKPIM ini. Tahniah sekali lagi. Semoga perlantikan barisan yang kuat ini juga akan menjadi pemangkin kepada proses kelahiran gerakan islam yang tulen.

Di sini juga saya ingin meminta maaf sekiranya kehadiran surat yang tanpa di undang ini menganggu komitmen sahabat-sahabat sekalian. Sesungguhnya surat ini bukanlah untuk mengancam mahupun menganggu gugat mana-mana pihak, tetapi hanya sekadar coretan dari seorang sahabat yang ingin melihat kepada kesinambungan perjuangan yang membawa mesej rahmatan lil a’lamin agar lebih berkesan dan progresif. Kesinambungan perjuangan ini juga merupakan harapan besar majoriti pendokong visi dan misi yang di bawa oleh PKPIM.

Sahabat-sahabat sekalian,

Melihatkan senario perkembangan umat islam secara keseluruhan, ianya amat mencengkam hati naluri sekalian para pendakwah. Pelbagai bentuk cabaran yang terpaksa ditempuhi, pelbagai bentuk ranjau yang terpaksa dilalui apatah lagi pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa diharungi. Kedudukan umat islam sekarang begitu goyah dari pelbagai sudut. Serangan-serangan yang yang dilakukan oleh musuh islam begitu mencangkupi segenap ruang yang ada. Tidak cukup serangan melalui fizikal, akidah umat islam juga cuba diratah dan digoyahkan. Label keganasan juga tidak terlepas untuk disinonimkan dengan umat islam. Akidah anak-anak muda islam juga digoyahkan dengan pelbagai bentuk hiburan yang melampau. Budaya hendonistik juga cuba disebatikan dengan jiwa anak muda.Apatah lagi ianya bukan hanya dilakukan oleh musuh islam yang sudah jelas kekafiran mereka, tetapi turut sama mereka yang mengucap kalimat la ila haillah tetapi disertakan sifat yang hipokrit terhadap kalimat itu sendiri.

Maka sudah pastilah sekalian para dai’e tidak akan dapat melelapkan mata dengan lenanya.Sudah pasti jugalah sekalian gerakan islam tidak dapat duduk dengan selesa, memikirkan apakah strategi yang terbaik untuk menangkis serangan-serangan tersebut. Maka terpaksalah kita yang terlibat dengan gerakan ini merangka pelbagai gerak kerja dan strategi agar ianya dapat dicantas daripada terus menjadi barah yang akan menghancurkan jiwa umat islam keseluruhannya.

Memperhebatkan arah dan matlamat asal

Oleh itu, antara langkah awal yang harus dilakukan ialah kembali memperjelaskan arah, matlamat dan tujuan asal gerakan ini. Misi meneruskan perjuangan yang diperjuangan oleh Nabi Muhammad sallahua’laihi wassalam harus diperkuatkan Dokongan kepada perjuangan menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah harus diperhebatkan. Teringat saya pada kata-kata Imam Hasan Al-Banna untuk sekalian para ahli ihkwanul muslimin, pesannya “ Wahai pemuda, seandainya kamu menyakini fikrah kami dan kamu mengikuti jejak langkah kami dan kamu bersama kami di atas jalan Islam yang murni ini, kamu tinggalkan segala fikrah kecuali fikrah Islam dan kamu waqafkan segala tenaga dan usaha kamu untuk aqidah yang kamu yakini ini, maka semua itu akan mendatangkan kebaikan untukmu di dunia dan akhirat. Allah akan membuktikan kepadamu apa yang telah dibuktikan kepada generasi pertama dahulu. Setiap orang yang bekerja dengan penuh ikhlas dan setia dalam medan dakwah ini akan mendapati sesuatu yang mengisi hemah dan cita-citanya. Ia akan mendapati sesuatu yang mengisi segala daya dan tenaga yang ada padanya. Tetapi sekiranya kamu enggan dan memilih sikap yang serba salah dan tidak jelas terumbang ambing di antara seruan-seruan dan kefahaman yang mengecewakan dan menyesatkan, maka sesungguhnya angkatan Islam dan tentera-tentera Allah akan meneruskan perjalanan mereka tanpa mengira bilangan sama ada sedikit atau ramai”. (sila rujuk buku Jalan Dakwah karangan Mustafa Masyhur muka surat 11).

Apatah lagi antara pesanan dan pegangan yang tidak dapat dinafikan kepada kaum muslimin iaitu sabda Nabi Muhammad sallahua’laihi wassalam “Aku tinggalkan sesuatu untuk kalian. Bila kalian berpegang teguh dengannya maka kalian tidak akan tersesat selamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku.” (HR. Imam Malik, Al-Hakim).

Memperhebatkan Budaya Ilmu

Kalau bukan kita siapa lagi? Mungkin inilah antara kata-kata yang harus kita renungi bersama apatah lagi kita yang mendokong akan perjuangan ini meletakkannya sebagai dasar perjuangan. Walaupun pelbagai alasan dan halangan kepada keperluan tuntutan ilmu, namun sesungguhnya manusia memang “membutuhkan” ilmu. Sepertimana manusia memerlukan makanan untuk kelangsungan hidup, begitu jugalah dengan keimanan yang amat “membutuhkan” ilmu sebagai pelengkap. Seandainya keimanan tidak di pupuk dengan ilmu, maka ibarat tanaman yang layu bahkan hancur.

Al Imam Ahmad menyatakan : “Manusia sangat memerlukan ilmu dari sekadar menyantap makanan dan minuman, kerana makanan dan minuman diperlukan oleh manusia sekali atau dua kali dalam sehari. Sedangkan ilmu diperlukan setiap saat.” (Thobaqot Al Hanabilah 1/147)

Sesungguhnya orang yang tidak berilmu tidak mengetahui hakikat keimanan dan ketaqwaan. Dan tidak mengetahui pula jalan untuk menuju keselamatan berdasarkan ilmu dan keyakinan yang mantap. Tentu saja hal ini semakin membuka peluang bagi syaitan untuk menggiring orang tersebut kepada kemaksiatan dan kesesatan. Tatkala kebodohan telah bermerajalela, maka akan meningkat pula kemaksiatan, kriminasi, cinta kepada dunia yang malampau dan takut kepada kematian.

Sesungguhnya diantara sifat-sifat penuntut ilmu yang diajarkan oleh rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam adalah ihklas dalam menuntut ilmu. Sebab dengan keikhlasan ini akan menghantarkan seseorang kepada tingkatan hamba yang sangat perlu kepada ilmu dan membentenginya dari riya’ (ingin dipuji oleh orang lain) dan sebagainya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Barangsiapa yang mempelajari ilmu dari apa-apa yang dia cari dengannya wajah Allah Azza wa Jalla. Tidaklah dia belajar kecuali untuk memperoleh bahagian dari dunia, maka dia tidak akan mencium wangi syurga pada hari kiamat.” (HR Ibnu Majah, Al Muqadimah 1/252 dan Ahmad, AlMusnad2/338)
Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, walaupun pelbagai bentuk kemaslahatan yang melanda, seharusnya budaya ini harus dipertahankan bahkan perlu dihebatkan lagi. Sesungguhnya pada ketika ini, pihak-pihak musuh-musuh islam cuba untuk menganggu gugat kedudukan umat islam dengan melancarkan serangan melalui pelbagai bentuk pemikiran yang sesat. Sudah pastilah kita harus memberikan komitmen yang serius.

Mempertahankan Prinsip Ahlu Sunnah wal jama’ah

Melihatkan perkembangan suasana dakwah semasa sudah pastilah terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempuhi oleh umat islam.Perkembangan yang sering kali diperkatakan ialah munculnya pelbagai aliran-aliran dan segala bentuk pemahaman yang sudah pastilah berdiri di atas nama islam.Islam Liberal,islam Tanwiri,islam progresif mahupun islam moderate sudah tidak asing lagi dari pendengaran umat islam masa kini.Bahkan bagi mereka yang mendokong akan pelbagai gerakan islam sama ada di sini mahupun di luar sana sudah pastilah tidak akan tidur lena bagi memikirkan apakah alternatif yang terbaik bagi menangani isu ini.Namun bagi masyarakat umum yang mungkin jahil akan agama ini mereka tersepit di dalam tuntutan suasana ini apabila mereka tergerak untuk mencari kebenaran akan agama ini.Oleh itu seharusnya bagi mereka yang menjadi pendokong akan islam yang di bawa oleh Rasulullah sallahua'laihiwassalam seharusnya mempertahankan akan prinsip -prinsip yang menjadi dasar kepada agama ini.

Antara prinsip yang harus dipertahankan ialah:Ikhlas memahami konsep Tauhid

Ikhlas menurut erti bahasa ialah membersihkan atau memurnikan sesuatu dari kotoran. Sedangkan menurut istilah syar’i, ikhlas adalah membersihkan dan memurnikan ibadah dari segala jenis kotoran syirik.Setelah diketahui pengertian ikhlas menurut pengertian syar’i, dapat diambil kesimpulan bahawa orang dikatakan ikhlas dalam beribadah apabila ia bertauhid dan meninggalkan segala jenis syirik.maka seharusnya umat islam memahami apakah bentuk tauhid yang harus diyakini bagi membersihkan diri dari kotoran itu.

Tauhid yang pertama: Tauhid Rububiyyah, maksudnya kita harus yakin bahawa yang mencipta, memberi rezeki dan yang mengatur alam semesta hanya Allah Ta’ala tidak ada sekutu bagi-Nya.

Tauhid yang kedua: Tauhid Uluhiyyah, maksudnya yakin bahawa yang berhak disembah dan diberikan segala bentuk peribadatan hanyalah Allah Ta’ala tidak ada sekutu bagi-Nya.

Tauhid yang ketiga: Tauhid Asma’ wa Sifat, maksudnya kita harus yakin bahwa Allah Ta’ala memiliki Nama dan Sifat yang Mulia dan tidak sama dengan makhluk-Nya. Kita harus meyakini seluruh Nama dan Sifat Allah yang ada di dalam Alquran dan Assunnah apa adanya.Setelah meyakini ketiga jenis tauhid ini, maka wajib meninggalkan dua jenis syirik yang menjadi musuh bagi orang-orang yang bertauhid.

Syirik yang pertama disebut Syirik Akbar, iaitu syirik yang menyebabkan pelakunya keluar dari Islam. Syirik jenis ini amat banyak jumlah dan jenisnya, di antaranya adalah meyakini ada yang mencipta dan yang mengatur alam ini selain Allah Ta’ala, meminta rezeki atau jodoh kepada orang yang telah mati atau kepada jin, menolak sebahagian atau seluruh Nama dan Sifat Allah Ta’ala.

Syirik yang kedua disebut Syirik Asyghar, iaitu syirik kecil yang tidak menyebabkan pelakunya dikeluarkan dari Islam. Namun dosanya lebih besar daripada dosa zina, dosa mencuri atau kemaksiatan lainnya. Di antara amalan yang termasuk jenis syirik ini adalah riya’ (ingin dilihat oleh orang ketika beribadah), sum’ah (ingin didengar ibadahnya oleh orang lain), bersumpah dengan nama selain Allah, memakai azimat dengan keyakinan bahawa kekuatannya bersumber dari Allah. Untuk yang satu ini bila diyakini bahawa sumber kekuatan itu dari azimatnya, maka sudah termasuk Syirik Akbar.

Menjayakan Gerakan Tashfiyah (pemurnian) & Tarbiyah (pendidikan)

Sepertimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada para sahabatnya. Dari Abu Najih Al-’Irbadl bin Sariyah radiallahu ‘anhu ia bercerita: “Suatu ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam memberi nasihat kepada kita, nasihat itu membuat hati bergetar: “Wahai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, sepertinya nasihat ini adalah nasihat perpisahan, untuk itu berilah kami wasiat!” Maka beliaupun bersabda: “Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan tetap mendengar dan taat walaupun kamu diperintah oleh penguasa dari budak Habsyi. Sesungguhnya, siapa saja di antara kamu yang masih hidup sepeninggalku nanti, pasti melihat banyak perselisihan, maka wajib atas kalian untuk tetap berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa arrosyidin yang mendapat petunjuk, peganglah sunnah itu dan gigitlah dengan gigi geraham (jangan sampai lepas) dan jauhilah perkara-perkara baru yang disusupkan ke dalam agama kerana sesungguhnya setiap perkara baru yang disusupkan ke dalam agama itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat”. (HR. Abu Dawud, Tirmidzi)Tashfiyah adalah gerakan pemurnian ajaran Islam dengan cara menyingkirkan segala keyakinan, ucapan mahupun amalan yang bukan berasal dari Islam. Sedangkan Tarbiyah adalah usaha mendidik generasi muslim dengan ajaran Islam yang murni, yang berdasarkan Al Quran dan Assunnah dengan pemahaman para sahabat Radiyallahu ‘anhum ajma’in.Dalam rangka menjayakankan gerakan ini, Ahlus Sunnah wal Jamaah terus menerus memperingatkan umat dari segala bentuk penyimpangan baik berupa kekufuran, kesyirikan, kebid’ahan mahupun kemaksiatan, di samping itu juga meluruskan penyimpangan-penyimpangan yang terjadi baik yang ada di kitab-kitab yang tersebar di kalangan umat mahupun pernyataan-pernyataan sesat dari para penyesat. ini semua dinilai sebagai amar ma’ruf nahi munkar yang menjadi kewajiban kita semua.

Berani dan Progresif

Mungkin sesuatu yang menyukarkan di dalam susasana yang amat mencengkam mana-mana gerakan pelajar untuk melahirkan sifat berani di dalam mempertahankan prinsip amar ma'ruf nahi munkar. Namun di dalam perkara untuk menyebarluaskan agama Allah ini mungkin ia tidak sukar. Tetapi di dalam memberi respon kepada sebarang tindakan mana-mana pihak sama ada pemerintah mahupun bukan pemerintah yang tidak seiring dengan menjaga kepentingan masyarakat mahupun rakyat mungkin ianya sesuatu yang perlu difikir berulang kali.

Namun ianya bukanlah satu sebab untuk kita berpeluk tubuh dengan hanya melihat sekatan demi sekatan yang dilakukan oleh pihak terbabit. Kita harus keluar dari kepompong ini. Melihat kembali ucapan dasar mantan presiden PKPIM pada muktamar yang lalu sudah cukup untuk kita mengambil pendekatan yang berani dan progresif. Sesungguhnya masalah yang digariskan di dalam ucapan tersebut tidak memerlukan masa yang lama untuk cuba diselesaikan. Tidak perlu untuk kita menunggu ucapan dasar yang akan datang untuk dirujuki kembali baru diambil tindakan. Tidak perlu juga untuk kita beretorika dengan kepimpinan-kepimpinan yang lalu mahupun yang lampau kalau tidak untuk diadaptasikan kepada kepimpinan yang sekarang. Kadangkala juga harus kita mengambil tindakan yang drastik yang berstrategik di dalam melawan arus sekatan yang ada di hadapan kita.


Mungkin inilah antara perkara-perkara yang dapat saya kongsikan dengan sahabat-sahabat sekalian. Walaupun dengan pengisian yang tidak hebat ini namun diharapkan agar ianya menjadi satu momentum kepada merealisasikan matlamat utama perjuangan ini. Namun kebersamaan itu seharusnya menjadi tunjang kepada kejayaan perjuangan ini. Minta maaf sekali lagi akan kedatangan surat yang tidak di undang ini. Ianya hanya sekadar kongsi kasih saya terhadap sahabat-sahabat dan juga kepada wadah perjuangan ini.

Wallahua’lam

Tuesday, October 04, 2005

Image hosted by Photobucket.com

Puasa Adalah Perisai (Pelindung)
Oleh: Mohd Nor Zaiman Che Mansor

"Rasulullah sallahu a'laihi wassalam juga pernah menjelaskan bahawa puasa itu perisai dari neraka. Ia boleh menahan diri dari pelbagai pintu keburukan yang boleh mendekatkan diri kepada neraka. Rasulullah sallahu a'laihi wassalam bersabda bahawa" Puasa adalah perisai (pelindung), seorang hamba berperisai (berlindung) dengannya dari api neraka" [Hadits Riwayat Ahmad 3/241, 3/296 dari Jabir, Ahmad 4/22 dan Utsman bin Abil 'Ash."

Ramadhan adalah bulan kebaikan dan barakah. Allah memberkahinya dengan pelbagai keutamaan dan kelebihan kepada umatnya.Allah juga menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk, ubat bagi kaum mukminin dan membimbing kepada jalan yang lurus.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam telah menjelaskan dalam hadis yang shahih bahawa puasa adalah benteng dari syahwat, perisai dari neraka. Puasa boleh menahan jiwa daripada syahwat dan membentengkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah. Walaupun sebahagian ahli ilmi memahami bahawa hadis-hadis tersebut merupakan penjelasan terhadap keutamaan puasa terhadap jihad dan berperang di jalan Allah, namun zahir hadis ini mencakupi semua puasa jika dilakukan dengan ikhlas.

Rasulullah sallahu a'laihi wassalam bersabda " Wahai pemuda barangsiapa di antara kamu telah mampu ba'ah hendaklah berkahwin, kerana berkahwin itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kehormatan. Barangsiapa yang belum mampu berkahwin, hendaklah puasa kerana puasa itu merupakan wijaa' (pemutus syahwat) baginya" [Hadits Riwayat Bukhari 4/106 dan Muslim no. 1400 dari Ibnu Mas'ud]

Rasulullah menyuruh mereka yang sudah kuat syahwatnya agar berpuasa untuk membenteng dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah seandainya mereka belum mampu untuk berkahwin. Suruhan ini adalah untuk wijaa' atau pemutus syahwat kerana puasa dapat menahan anggota badan hingga dapat mengawalnya.

Rasulullah sallahu a'laihi wassalam juga pernah menjelaskan bahawa puasa itu perisai dari neraka. Ia boleh menahan diri dari pelbagai pintu keburukan yang boleh mendekatkan diri kepada neraka. Rasulullah sallahu a'laihi wassalam bersabda bahawa" Puasa adalah perisai (pelindung), seorang hamba berperisai (berlindung) dengannya dari api neraka" [Hadits Riwayat Ahmad 3/241, 3/296 dari Jabir, Ahmad 4/22 dan Utsman bin Abil 'Ash.

Sesungguhnya ia telah jelas menunjukkan bahawa puasa itu boleh memberi perlindungan kepada orang yang berpuasa untuk menahan diri daripada ke arah keburukan. Ini kerana ia boleh memutuskan syahwat, menghancurkan kuatnya syahwat daripada mendekatkan diri ke neraka serta mampu menjadi perisai bagi mereka yang berpuasa.

Terdapat banyaknya kelebihan dan keutamaan yang di berikan oleh Allah kepada umatnya dengan mensyaria'tkan puasa. Sesungguhnya tidaklah Allah mensyaria'tkan kepada umatnya sesuatu perkara seandainya tidak ada faedah dan manfaat.Maka seharusnya kita merebut peluang ini dengan mengambil kelebihan sebagai satu benteng diri yang mampu mencapai syurga dan menjauhi neraka.