Tuesday, September 30, 2008

CADANG MUFTI PERLIS SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA

’Kita amat memerlukan pemimpin yang mempunyai kefahaman jelas di dalam kepimpinan yang didasari al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin yang seperti ini bukan hanya akan mewar-warkan untuk membanteras rasuah mahupun penyelewengan kuasa, namun mengajak rakyat untuk mentaati Allah azza wa jalla.’’


Politik Malaysia semakin serabut. Hati rakyat gundah gulana memikirkan apakah situasi dan kondisi yang akan berlaku masa kini dan akan datang. Permainan politik makin berputar dan berbelit. Kuasa menjadi rebutan. Amat parah sekiranya kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa. Perpecahan umat berlaku kerana dibezakan dengan parti-parti tertentu. Taksub kepada parti mengundang kepada perpecahan yang berakar umbi. Pemikiran tertutup dek kerana ketaksuban tersebut.


Tanggungjawab sebagai pemimpin dipandang dengan perasaan untuk populariti. Amanah dipikul dijadikan tiket untuk menunjukkan kekuatan diri. Seolah-olah tiada yang hebat berbanding mereka. Rakyat dibiarkan dengan perasaan resah dan gelisah memikirkan siapa pemimpin yang layak untuk memimpin. Pemimpin yang berteori hebat tidak didasari dengan kefahaman agama yang sebenar mencari ruang untuk berkuasa. Dasar perjuangan tidak dihadami dengan jelas. Perjuangan yang berada pada takhta pemerintahan semakin kabur kerana tidak didasari dengan betul.


Oleh itu, kita harus memikirkan semula dan menilai kembali sistem politik yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama. Sistem yang berdasarkan sistem parti ini mengundang kepada perpecahan yang amat ketara. Rakyat yang dahulunya berdiri di atas kesatuan dipecahkan mengikut kefahaman parti masing-masing. Pemimpin yang diangkat merupakan pemimpin kepada parti tertentu bukan pemimpin untuk semua. Pemimpin itu juga sudah pasti tiada dapat sokongan daripada rakyat yang tidak sealiran. Maka, perebutan kuasalah yang akan menjadi titik utama di dalam perjuangan.


Maka, kita harus memikirkan untuk memilih pemimpin yang memimpin untuk semua. Pemimpin yang dipilih bukan berdasarkan parti tetapi berdasarkan kepada kefahaman yang jelas di dalam kepimpinan yang didasari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin yang di angkat tidak semestinya perlu mewakili parti politik tertentu. Ini kerana rakyat juga berhak untuk memilih pemimpin yang sesuai digelar sebagai pemimpin. Sekiranya sistem yang ada sekarang menyekat perkara ini, kita boleh ubah kerana ia sistem ciptaan manusia.


Sepertimana yang dinyatakan tadi, kita amat memerlukan pemimpin yang mempunyai kefahaman jelas di dalam kepimpinan yang didasari al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin yang seperti ini bukan hanya akan mewar-warkan untuk membanteras rasuah mahupun penyelewengan kuasa, namun mengajak rakyat untuk mentaati Allah azza wa jalla. Ini kerana, siyasah yang menyeru kepada taati Allah yang akan membawa kesejahteraan kepada negara dan umatnya di dalam pelbagai aspek.


Dalam perkara ini, saya dapat melihat ketokohan yang ada pada diri Dr Asri Zainul Abidin selaku Mufti Perlis di dalam ciri-ciri kepimpinan beliau. Beliau merupakan tokoh agamawan yang luas di dalam bidang agamanya. Kefahaman beliau yang mendalam di dalam bidang yang diceburinya iaitu di dalam bidang Hadis memampukan beliau untuk berhujah mengenai pelbagai aspek termasuk dalam perkara pentadbiran Negara. Kepetahan beliau berhujah menyaksikan pelbagai pihak dapat menerima dengan baik berdasarkan dalil-dalil yang dikemukan oleh beliau.


Ketidakcenderungan beliau kepada mana-mana parti politik menyebabkan ramai yang dapat menerima kepimpinan beliau, ini termasuk juga ahli parti-parti politik yang ada di Malaysia. Kepakaran beliau dalam bidang hadis juga mampu untuk mengariskan ciri-ciri tadbir urus negara dan umat sepertimana dianjurkan oleh Islam melalui Risalah Nubuwwah. Saya juga dapat melihat beliau berupaya untuk menyeru bukan sahaja ahli-ahli politik tertentu sahaja tetapi semua ahli-ahli politik khususnya umat Melayu.


Oleh itu, saya merasakan sudah sampai waktu dan ketikanya kita memainkan peranan yang penting di dalam memastikan pentadbiran negara ini berada di landasan yang benar. Kita amat memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Sudah jelas di mana kita dapat melihat pemimpin yang di angkat sebagai pemimpin yang mempunyai kepentingan parti tertentu tidak dapat memimpin keseluruhan rakyatnya kerana terbatas oleh idealisme partinya. Maka, kita memerlukan pemimpin yang dapat menyeru keseluruhan rakyat di bawahnya untuk mentaati Allah azza wa jalla dan seterusnya menegakkan syariat islam di bumi bertuah ini, Malaysia.

Monday, September 22, 2008

HARAP DI BULAN RAMADHAN MEREDAKAN NAMUN…………

Pergolakkan politik dalam negara ini makin memualkan. Kegilaan kuasa makin tampak meloyakan. Politik adu domba mencampah sehingga ke segenap pelosok kepala yang mendokong idea. Permainan batu api dimainkan dengan tiada tapisan oleh teknologi massa dan pena khabaran.

Kehadiran ramadhan almubarak tidak terkesan kepada golongan ini. Golongan gila kuasa, pangkat, harta dan kehormat. Percaturan kuasa yang ingin dipertahankan seolah-olah menghalalkan apa jua senjata walaupun senjata terlarang. Muqabalah yang dituntut perbalahan yang direncanakan. Kegelisahan umat tiada dihiraukan.

Sedangkan kehadiran Ramadhan seharusnya menambahkan lagi kegembiraan kepada umat Islam. Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan.

Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]

Apatah lagi di bulan ini kita dilarang mengeluarkan perkataan-perkataan yang sia-sia dan kotor. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]

Sepatutnya dikesempatan inilah kita mengambil kesedaran untuk mengubah suasana politik negara ini daripada politik keserabutan kepada politik yang menenangkan. Agar umat dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana penuh kerahmatan.

Saturday, September 06, 2008

RAMADHAN

RAMADHAN KAREEM

" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa"
Surah al-Baqarah ayat 183