Tuesday, December 13, 2005

Isu Matematik dan Sains Dalam BI Belum Selesai

Image hosted by Photobucket.com
TANDA SOKONGAN... Ribuan rakyat berbilang kaum di Kajang baru-baru ini
mengangkat tangan mereka tanda sokongan bagi meluluskan
Resolusi Membantah Sistem Pengajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris

Lebih 600 pertubuhan dan 4,000 individu yang berkumpul di Kajang pada hari Sabtu menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Persidangan itu dianjurkan oleh pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong (DJZ) di ibupejabatnya di Kajang. DJZ – Gabungan Persekutuan Lembaga Persatuan Sekolah Cina (Dong Zong) dan Persatuan Guru Cina Malaysia (Jiao Zong) – merupakan kumpulan paling lantang membantah pelaksanaan dasar tersebut.Peserta persidangan itu kemudiannya meluluskan resolusi empat perkara, yang menggesa supaya dasar tersebut dikaji semula. Resolusi tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Resolusi tersebut menggesa kerajaan, pertama, menambah pelajaran bahasa Inggeris di sekolah; kedua, mengkaji kesan negatif pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris; ketiga, kembali mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda; dan keempat, menggesa parti-parti politik dan pertubuhan supaya menyokong pendidikan dalam bahasa ibunda. Resolusi tersebut diluluskan sebulat suara secara mengangkat tangan.

'Pelajar Melayu terjejas'

Mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Ahmad Lutfi Othman memberitahu persidangan tersebut bahawa pelajar Melayu adalah golongan yang tpaling eruk terjejas dengan dasar tersebut. Katanya, kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, menunjukkan 96 peratus pelajar Melayu tidak berminat mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Tambahnya dasar adhoc itu yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini jelas menunjukkan kelemahannya. Dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris diperkenalkan dalam Tahun Satu sekolah rendah pada 2003. Bagaimanapun, di sekolah Cina, formula 2-4-3 digunakan dua masa belajar untuk bahasa Inggeris, empat masa belajar untuk Matematik dan tiga masa belajar bagi Sains, pada setiap minggu. Sehingga ini, belum ada keputusan yang dibuat mengenai jumlah masa belajar bagi dua matapelajaran tersebut apabila murid masuk Tahun 4 tahun depan. Presiden Dong Zong, Dr Yap Sin Tian (foto) berkata, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah melemahkan peranan sekolah Cina dalam sistem pendidikan vernakular. "Jika medium pengajaran di sekolah rendah ditukar, maka sekolah Cina menghadapi risiko kehilangan identiti mereka," katanya. Dr Yap juga membidas parti-parti politik yang bersikap tidak konsisten dalam pendirian mereka berhubung isu tersebut.

'Bertindak sekarang'

Presiden Jiao Zong, Ong Chiow Chuen pula berkata, masalah yang timbul akibat daripada dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris itu perlu diselesaikan segera atau kesan negatifnya akan menimpa semua bangsa di negara ini. "Kajian pakar dalam bidang pendidikan tempatan dan luar negeri, telah menggesa supaya kanak-kanak menggunakan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran, terutama dalam matapelajran Sains dan Matematik," kata Ong. Turut berucap ialah Pengerusi Kumpulan Rakyat Prihatin, K Arumugam; Pengerusi Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, M Manogaran dan Presiden Jemaah Islamiah Malaysia, Zahir Hassan. Ahli-ahli politik tidak disenaraikan berucap di persidangan tersebut. Penganjurnya berkata, pihaknya mahu persidangan dan resolusi itu tidak berunsurkan politik dan mencerminkan pandangan masyarakat.

2 comments:

Anonymous said...

I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! »

Anonymous said...

kebanyakan guru kita kehilangan sehingga 60% kepakaran mereka mengajar science dan matematik dalam bahasa inggeris..yang menjadi mangsa adalah anak kita..murid sekarang tidak pandai lagi mencongak...menteri yang ada dalam KPM sekarang juga tidak boleh diguna pakai..suka syok sendiri..