Wednesday, May 03, 2006

Perjuangan Bahasa Harus Disesuaikan!

Saya tertarik apabila kita memperkatakan soal perjuangan memartabatkan bahasa, apatah lagi bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Ianya merupakan isu yang sensitif sebagai bangsa yang mempunyai semangat mempertahankan bahasa sendiri. Bahkan ianya bukan menjadi isu sekolompok sahaja tetapi menjadi isu nasional. Badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan kerajaan mahupun badan gerakan-gerakan pelajar serius memperkatakan perlunya memartabatkan bahasa ibunda kita. Saya juga sering kali mendengar apabila menghadiri beberapa muktamar gerakan pelajar, gegaran perjuangan memartabatkan bahasa ini begitu menghangatkan suasana.

Saya juga apabila ditanyakan tentang perjuangan bahasa ini bersetuju perlunya kita perjuangkan demi melihat bahasa kita bersih daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan bahasa. Namun, saya juga ingin memberi satu pandangan dari sudut yang lain yang mana memungkinkan kita yang terlibat di dalam "harakah dakwah" mengambil satu pandangan yang sedikit berbeza. Pertamanya, saya bukan tidak bersetuju perlunya kita menaikkan perjuangan memartabatkan bahasa. ianya penting, namun sebagai golongan yang terlibat dalam gerakan misi dakwah kita harus menyesuaikannya. Di sini saya ingin memperkatakan soal perjuangan bahasa dalam konteks "harakah dakwah" ataupun dalam konteks menyeru orang lain ke arah kebaikan ( amar ma'ruf)

Saya dapat melihat kita yang terlibat di dalam gerakan dakwah seolah-olah terlalu menjadikan isu ini sebagai satu perkara yang perlu kita dahulukan (aula). Sehinggakan dalam segala aspek kita harus menjaga bahasa yang ingin digunakan itu agar tidak bercampur baur dengan bahasa2 lain. Memang betul ianya merupakan satu langkah ke arah memartabatkan bahasa, tetapi sehingga kita "memayahkan" atau menyukarkan kita untuk berinteraksi dengan "mudah" dan "senang" untuk difahami.

Di dalam kontes dakwah, kita harus menggunakan bahasa yang senang difahami oleh mad'u kita. Walaupun bahasa yang kita gunakan itu berbaur "rojak" atau bercampur baur dengan bahasa lain ianya lebih baik sekiranya ia senang untuk difahami oleh mad'u tersebut. Kalau kita terlalu untuk menjaga penggunaan bahasa sehingga menyukarkan oleh orang lain untuk faham, adakah isi yang disampaikan itu akan dapat diterima dengan baik? saya mempertikaikan kerana dapat dilihat kita yang terlalu menjaga penggunaan bahasa ini menimbulkan satu ruang yang agak sukar untuk difahami sama ada dari segi penyampaian mahupun penulisan. Ini tidak bermakna bahasa melayu merupakan bahasa yang sukar, tetapi penggunaan gaya bahasa tersebut yang sedikit menyukarkan untuk "terus" difahami.

Kadangkala juga kerana terlampau inginkan mengindahkan bahasa yang digunakan kita menyebabkan para pendengar mahupun pembaca mengambil masa yang berjela-jela untuk difahami bahkan juga terpaksa diulang-ulangkan. Apa salahnya kalau kita mencampurkan dengan bahasa lain kalau ianya senang untuk difahami? apa salahnya kalau kita mengunakan bahasa "rojak" kalau ianya senang untuk difahami oleh mad'u? bagi saya ianya tidak menjadi satu kesalahan, kerana yang pentingnya ialah isi kandungan penyampaian tersebut. Kita juga dapat melihatkan suasana sekarang orang ramai banyak menggunakan bahasa interaksi yang mudah untuk difahami. Oleh itu apa salahnya kalau kita menyampaikan sesuatu itu dengan bahasa interaksi yang juga mudah difahami oleh orang ramai, walaupun ada sedikit bercampur dengan bahasa lain.

Sesungguhnya bukan niat saya untuk memperlekehkan perjuangan bahasa ini. bahkan saya berdiri teguh dibelakang orang yang memperjuangkan bahasa. Tetapi seperti saya perkatakan tadi, di dalam konteks dakwah, kita gunalah perkataan mahupun penyampaian yang mudah untuk difahami. Ianya lebih bermakna untuk setiap ilmu yang disampaikan itu cepat dan mudah untuk ditangkap oleh orang yang mendengarnya. Itulah yang terbaik dalam konteks menyeru ke arah kebaikan (ma'ruf).

wallahua'lam

0 comments: