Monday, February 27, 2006

Tidak Ada Apa-apa Tindakan Terhadap NSTP????

Tiada apa-apa tindakan dikenakan kepada NSTP, segalanya diterima baik oleh Pak Lah. Inilah keputusan yang diambil oleh Pak Lah yang mengecewakan majoriti rakyat Malaysia. Disaat semua pihak mendesak agar di ambil tindakan kepada NSTP termasuklah pimpinan-pimpinan kerajaan sendiri dan tidak ketinggalan juga oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir, namun inilah hakikatnya.

Sedih lagi menyedihkan. Sehingga tidak dapatku katakan lagi, tidak ada harapan lagi yang dapat ku sandarkan kepada Pak Lah lagi. Tidak dapat ku rasakan lagi sinar baru keagungan memartabatkan maruah bangsa dan agama, yang hanya dapat ku dengar ha.....nyalah kata-kata bak pujangga yang menyinari kabus pagi kan hilang dek sinar mentari kan layu dikala mimpi di malam hari. Allah.....apa nak jadi!.

Namun di dalam tuntutan menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar tidak akan ku mudah berputus asa. Ku mohon pada Allah ta'ala agar diberikan petunjuk dan hidayah kepada ku, seluruh kaum muslimin dan juga kepada pemimpin yang berkuasa. Kepada pemimpin yang diberikan tanggungjawab ku seru dengan hati ingin dekatkan kepada kebenaran agar menjadikan tanggungjawab itu sebagai amanah yang akan dipersoalkan kelak di depan Allah a'za wajalla.

Kepada kaum muslimin rapatkan saf di dalam menghadapi pelbagai bentuk fitnah yang dilakukan oleh pembuat makar ini. Gesaan dan pembelaan di dalam menegakkan kebenaran seharusnya dijadikan titik tolak dalam merapatkan kekuatan ummah. Penghinaan terhadap Nabi junjungan besar hendaklah dibela dengan menunjukkan kebenaran risalah nubuwwah ini. Kecintaan terhadap melakukan sunnah Rasulullah sallahua'laihiwassalam seharusnya perlu diperhebatkan lagi, Hapuskan segala bentuk kesyirikan,kefasikkan, bida'ah dan kemaksiatan yang boleh menjauhkan diri dari kecintaan kepada Nabi Muhammad sallahua'laihiwassalam. Seharusnya cinta kepada Nabi hendaklah ditunjukkan dengan amal perbuatan yang selari dengan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallahu a'laihi wassalam

Wallahua'lam

Friday, February 24, 2006

Bantah NST

Image hosting by Photobucket
Dewan Pemuda PAS akan terus berkumpul di perkarangan Masjid Abu Bakar Bangsar selepas Jumaat hari ini walaupun NST sudah memohon maaf sebagaimana mereka minta. "Kita telah kumpulkan orang dan kita akan tetap berhimpun. Berarak atau tidak ke NST akan diputuskan selepas itu," kata Salahudin Ayub. Timbalan Presiden PAS Ust. Nasaruddin Mat Isa, Naib Presiden Hj. Mohammad Sabu, Ketua Pemuda PAS, YB. Salahuddin Ayub, Pimpinan NGOs serta seluruh umat Islam akan menyertai perarakan sempena himpunan dan juga penyerahan memorendum kepada NST.

Wednesday, February 22, 2006

Satu Lagi Akhbar Tempatan Bersekongkol Menghina Nabi s.a.w

Hina dan biadap! itulah antara kata-kata yang boleh diberikan kepada satu lagi akhbar tempatan (NST) yang menyiarkan karikatur penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w semalam, akhbar itu telah menyiarkan kartun yang dilukis oleh wiley miller di halaman lapan life & times yang boleh disifatkan menghina Nabi.

Di dalam keadaan umat islam seluruh dunia marah dan mengutuk tindakan yang dilakukan oleh akhbar Denmark yang menyiarkan karikatur penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w amat dikesali dan kecewa ianya juga berlaku negara kita sendiri. Di dalam usaha umat islam di Malaysia menentang isu tersebut dan menganggapkan hina dan jijik tanpa segan silu akhbar-akhbar tempatan kita juga melakukan penghinaan yang sama.

Sebelum ini akhbar tertua di sarawak, Sarawak Tribune juga mengambil langkah yang sama menyiarkan semula karikatur tersebut. Tanpa memikirkan perasaan umat islam di negara ini dan dunia keseluruhannya mereka mengambil langkah yang jijik dan biadap. Walaupun tindakan telah di ambil terhadap mereka namun masih tidak memadai. Sepatutnya penyiar-penyiar tesebut di heret dan dikenakan tindakan yang setimpal sekurang-kurangnya di bawah akta keselamatan dalam neger (ISA) kerana boleh menyebabkan keadaan huru-hara.

Tidak ada guna kita memarahi tindakan yang dilakukan oleh akhbar Denmark sekiranya perkara yang sama juga berlaku di dalam negara kita sendiri, dan amat menyedihkan kalau tidak di ambil tindakan yang setimpal terhadap mereka yang jijik, biadap dan hina ini. Kerajaan harus mengambil tindakan yang serius untuk di beri pengajaran kepada mereka dan yang lain, ini agar menjaga kesucian dan keperibadian Nabi sallahua'laihiwasalam dan menjaga ketinggian agama Islam itu sendiri.

Kepada mereka yang bukan Islam seharusnya menjaga dan bersifat beradap terhadap kebenaran agama Islam, sesungguhnya Islam tidak menjadikan penghinaan itu sebagai senjata untuk menunjukkan kebenaran sesuatu agama. Sifat saling hormat menghormati merupakan budaya yang di anjurkan oleh Islam, melainkan kepada mereka yang ingin mengambil kesempatan terhadap kebaikan yang ditunjukkan oleh Islam.

wallahua'lam

Friday, February 17, 2006

Rombakan Kabinet Abdullah mengecewakan?

Image hosting by Photobucket
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mendapat reaksi pelbagai pihak. Ada pelbagai pihak menyambutnya dengan gembira dan ada juga yang berasa kecewa. kecewa yang bagaimana? mungkin kerana tidak ada apa-apa pembaharuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, hanya menampilkan muka-muka lama dan ada yang kecewa kerana Pak Lah masih mengekalkan mereka yang perasuah.

Saya secara peribadinya turut merasa sedikit kecewa dengan rombakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Salah satu puncanya kerana masih mengekalkan mereka yang terang-terang menyapu duit rakyat. Memang betul pengalaman penting untuk menjayakan satu-satu agenda. Tetapi apa salahnya kita mencuba mereka yang baru dengan menggunakan kepakaran mereka yang ada, mungkin mereka lebih baik daripada "mereka-meraka" yang ada sekarang. Apa pun diharapkan mereka yang diberi amanah ini dapat menjalankan tugas dengan baik, dengan mementingkan agenda kepada rakyat bukannya agenda untuk kepentingan diri sendiri.wallahua'lam

Monday, February 13, 2006

Umat Islam Harus Bertindak Bukan Sekadar Beretorika

"Tidak ada usaha yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat islam. Langkah "bacul" yang diambil oleh pemimpin-pemimpin ini hanyalah untuk menjaga kepentingan diri masing-masing. Seharusnya untuk mengubah suasana ini kita memerlukan pemimpin yang betul berjuang demi agama dan umat. "kebaculan " orientasi pertubuhan-pertubuhan kononnya membela umat islam dan islam itu sendiri harus dirobah.Perjuangan harus disertai dengan tindakan, sama juga bantahan ini harus disertai dengan gerak kerja yang strategik. "

Kes penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w masih belum reda, kesannya amat membahangkan suasana. Penghinaan yang strategik yang dilakukan oleh pihak musuh-musuh islam ini semakin melampau dan menjijikkan. Agenda kononnya mendokong hak kebebasan media dilaung-laungkan untuk menutup segala kebobrokan yang dilakukannya. Penghinaan demi penghinaan dilakukannya. Namun yang pasti ini bukanlah untuk pertama kalinya.


Image hosting by Photobucket
Umat Islam bangkit membantah penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w

Maka, bangkitlah umat islam dari seluruh perlosok dunia menunjukkan kemarahan yang amat sangat. penghinaan ini tidak boleh dikompromi langsung. Penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w begitu melampau dan menjijikkan yang dilakukan oleh musuh islam. Beraraklah umat islam dari seluruh pelosok dunia sambil melaung-laungkan slogan anti-Denmark, membantah ke atas penghinaan tersebut. Langkah memboikot setiap barangan dari Denmark malah juga barangan Amerika dan Yahudi merupakan langkah yang bijak namun seharusnya diimplementasikan dengan bersungguh-sungguh. Seluruh dunia islam harus menyahut langkah tersebut.

Namun, dengan tercetusnya isu yang "panas" ini masih belum mampu untuk membangkitkan semangat kesatuan dikalangan dunia umat islam. Langkah yang begitu "slow" yang dilakukan oleh pelbagai pertubuhan majoriti negara islam khususnya OIC begitu mengecewakan. Malah dapat kita lihat di dalam akhbar tempatan baru-baru ini kenyataan oleh negara pengerusi OIC itu sendiri bahawa mereka belum memikirkan lagi sama ada mahu atau tidak untuk memboikot barangan dari negara-negara tersebut. Yang dapat kita dengar hanyalah suara-suara bantahan mengutuk langkah penghinaan tersebut. Amat menyedihkan belum ada langkah yang drastik yang diambil sebaliknya hanya mengambil langkah "membantah" sambil menjaga kepentingan negara masing-masing. Amat menyedihkan.

Image hosting by Photobucket
Boikot barangan Denmark

Ini bukanlah isu yang pertama yang dilakukan oleh musuh-musuh islam, isu palestin, serangan ke atas negara-negara islam dan pelbagai lagi, hanyalah membangkitkan rasa kemarahan umat islam namun belum mampu untuk mengkerahkan tenaga-tenaga umat islam demi mengatasi isu ini. Tidak ada usaha yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat islam. Langkah "bacul" yang diambil oleh pemimpin-pemimpin ini hanyalah untuk menjaga kepentingan diri masing-masing.

Seharusnya untuk mengubah suasana ini kita memerlukan pemimpin yang betul berjuang demi agama dan umat. "kebaculan " orientasi pertubuhan-pertubuhan kononnya membela umat islam dan islam itu sendiri harus dirobah.Perjuangan harus disertai dengan tindakan, sama juga bantahan ini harus disertai dengan gerak kerja yang strategik. Umat islam harus bekerja untuk mengubah suasana ini bukan hanya beretorik semata-mata.