Betapa sedih dan malunya apabila mendengar slogan-slogan menyatakan bahawa negara kita (Malaysia) merupakan negara islam contoh yang harus menjadi ikutan negara-negara islam yang lain. Sedangkan tidak ada daya usaha untuk mempertingkatkan institusi-institusi ulama dan mufti untuk sama-sama menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang bertamadun islam yang tulen. Bahkan dapat dilihat institusi ini terus diperlekehkan-lekehkan. Saranan-saranan bahkan boleh dikategorikan sebagai fatwa terus tidak diendahkan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Sebagai contoh dapat dilihat 2 tahun dahulu mufti perak telah mengharamkan konsert sure heboh yang dianjurkan oleh satu saluran tv swasta kerana boleh melalaikan mereka yang hadir menyaksikan konsert tersebut. Namun adakah fatwa ini diambil sebagai iktibar? tidak dan tidak sama sekali. Bahkan ianya terus dianjurkan lagi tanpa ada kekesalan dan pengawalan daripada mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Pada kali ini nama sureheboh ditukar kepada jomheboh. Ingatkan programnya juga akan ditukar ke arah lebih baik, namun ianya masih tetap sama malah makin lalai dan melalaikan. Hari ini sekali lagi mufti yang sama mengeluarkan fatwa bahawa ianya haram walaupun ditukar namanya kerana melalaikan penontonnya. Kita pasti bahawa fatwa ini juga akan terus tidak diendahkan bahkan tidak akan dipandang langsung.
Hari ini sekali lagi masyarakat yang kononnya bercita-cita membentuk tamadun islam hadhari dijamukan dengan pelbagai bentuk hiburan. Ditambah lagi penganjuran satu lagi konsert lalai iaitu 'pesta hurra" yang kononnya meraikan kedatangan "bala dunia" iaitu world cup. Bukan itu saja, masyarakat ini juga akan mengalami satu demam yang amat disukai iaitu konsert "Akademi Fantasia' yang akan berlangsung tidak lama lagi. Bahkan banyak lagi bentuk hiburan yang akan dinikmati oleh masyarakat yang bercita-citakan tamadun islam hadhari ini tanpa diendahkan langsung saranan yang dikeluarkan oleh seorang mufti pun.
Di dalam negara yang bercita-citakan ke arah pembentukan tamadun islam hadhari tidak sewajarnya perkara ini berlaku. Seharusnya institusi ini harus diberikan kuasa yang sama untuk menyumbang bakti di dalam pembentukan masyarakat islam yang tulen, tetapi kenapa perkara sebaliknya berlaku. Pihak pemerintah seharusnya meningkatkan taraf dan diberikan peluang kepada institusi ini untuk sama-sama memberi sumbangan terhadap pemerintahan negara bukan sekadar diberi ruang dalam ruang lingkup yang kecil semata-mata. Rugi dan amat merugikan sekiranya institusi ini terus diperkecilkan sedangkan kita hebat melaungkan slogan negara ini merupakan negara islam contoh kepada negar islam yang lain. Tidak malu kah kita?