Friday, June 16, 2006

Kongsi Raya Perlu di Kaji Semula

IPOH: Muzakarah Ulama 2006 yang berakhir di sini semalam mahu kerajaan mengkaji semula amalan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata kajian itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sudah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain, merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada syirik. “Perkara ini (keputusan Jawatankuasa Fatwa) bagaimanapun masih dalam bentuk penulisan dan belum lagi diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan,” katanya pada majlis penutupan muzakarah berkenaan.

Muzakarah tiga hari itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-78. Hadir sama Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dan Mufti Kelantan, Datuk Hasbullah Mohd Hassan. Muzakarah itu merumuskan 22 resolusi lain yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, kerajaan negeri, Kerajaan Pusat serta Majlis Raja-raja.

Harussani yang juga Mufti Perak, berkata, antara resolusi yang diluluskan ialah meminta semua Majlis Fatwa negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak khusus bagi menangkis hujah penganut fahaman liberalisme dan pluralisme yang menyerang akidah umat Islam. Kerajaan juga diminta menubuhkan badan pemantau dianggotai ahli akademik dan ulama bagi menyekat penyebaran fahaman Islam liberal, terutama menerusi internet.

“Saya juga difahamkan, pengikut fahaman Islam liberal sedang menunggu resolusi ini supaya mereka dapat merangka strategi baru bagi menyerang balik keputusan ini,” kata Harussani. Muzakarah itu juga mencadangkan dialog diadakan membabitkan pelbagai pihak, termasuk pengikut aliran Islam liberal dan agama lain untuk membetulkan salah tafsiran mengenai Islam serta memahami pandangan penganut agama lain.

Kerajaan juga diminta membuka dialog dengan semua pihak termasuk pengikut aliran Islam liberal dan agama lain untuk membetulkan salah tafsiran mengenai Islam serta memahami pandangan penganut agama lain. Harussani berkata, resolusi itu juga menuntut kerajaan memasukkan dalam kurikulum sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengenai bahaya aliran pemikiran bertentangan ajaran Islam.

“Saya sudah membangkitkan isu ini kepada Majlis Raja-Raja dua bulan lalu dan mereka bersetuju menyampaikannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya.

Harussani berkata, itjima ulama menetapkan fahaman liberalisme yang memberi kebebasan kepada individu tanpa had serta pluralisme bahawa semua agama sama, adalah aliran berbahaya yang didalangi musuh Islam. Muzakarah itu juga meminta kerajaan mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, menolak Suruhanjaya Antara Kepercayaan Agama (IFC) atau gagasan lain sealiran dengannya dan mengawal media.

-----------------------
sumber : berita harian

3 comments:

Anonymous said...

Excellent, love it!
» »

Anonymous said...

Keep up the good work
» » »

Anonymous said...

You have an outstanding good and well structured site. I enjoyed browsing through it »