17 Mei 2005 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa penghargaan dan tahniah kepada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Mohamad Dzaiddin Haji Abdullah. Laporan Suruhanjaya yang setebal 666 halaman ini merupakan usaha serius pihak Suruhanjaya untuk menambahbaikan institusi kepolisian sebagai satu institusi penting dalam pentadbiran negara.Laporan kajian Suruhanjaya yang bertarikh 16 Mei 2005 ini sewajarnya dilihat dari perspektif untuk mempertingkatkan kemahiran, profesionalisma, perjalanan dan pengurusan PDRM; bukan sekadar untuk memulihkan imej institusi kepolisian ini. Lebih penting lagi, kita tidak seharusnya melihat kajian ini sebagai satu langkah untuk menghukum pasukan PDRM. Di atas pertimbangan inilah, maka seluruh anggota masyarakat perlu turut membantu pelaksanaan pelbagai cadangan yang dikemukakan ini didalam kapisiti dan keterbatasan masing-masing.Suruhanjaya tersebut telah mengenalpasti sejumlah sembilan (9) cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh PDRM dalam melaksanakan tugas dan amanah negara. Selaras dengan kepentingan cabaran tersebut, laporan ini turut mengemukakan sepuluh (10) teras strategik yang mengandungi 125 cadangan.Kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan gejala rasuah, sikap polis ketika menjalankan tugas dan ISA akan berterusan sekiranya semuanya ini tidak dibendung. Ini akan mengikis kewibawaan institusi polis. Kebimbangan ini mesti dilihat dengan teliti dan penuh keterbukaan dalam menyelesaikan isu yang berbangkit merujuk pada kajian kes dalam laporan tersebut. Menjadi tegas serta professional tidak akan merugikan, malah akan disanjung. ABIM mahu institusi ini dihormati dan mampu menjaga kestabilan, keharmonian, keadilan dan bebas dari pengaruh individu dan politik.Secara khususnya, ABIM ingin menumpukan beberapa cadangan tertentu seperti penubuhan Kor Agama di dalam PDRM sepertimana diujudkan dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pelaksanaan cadangan ini dapat memberi impak kepada masalah disiplin, sikap dan moral anggota PDRM. Kombinasi diantara profesionalisma dan kekuatan limu serta moral akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan merubah persepsi buruk masyarakat terhadap institusi polis. Manakala membantu membina kualiti kehidupan seperti perumahan, infrastuktur bekerja, latihan teknikal serta kemahiran, penjawatan, serta imbuhan boleh meringankan bebanan dan tanggungjawab kerja dan keluarga. Sekiranya ini dapat diatasi dengan baik, ianya akan memberi kesan yang baik dalam perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.ABIM berharap agar seluruh agenda pembaharuan yang dikemukakan menerusi cadangan-cadangan di dalam laporan ini turut disokong secara serius oleh seluruh agensi kerajaan yang berkaitan. Sebagai contoh, yang berkaitan dengan aspek penjawatan perlu disegerakan oleh agensi terbabit agar agenda pembaharuan ini dilaksanakan terus.ABIM menjangka pelaksanaan secara bertahap dan ini mesti dipantau dari masa ke semasa dan dinilai semula setelah setahun. Kerajaan juga perlu membuat program pemantauan terhadap setiap cadangan. Demi ketelusan (tranperancy), kos-kos pelaksanaan kepada setiap cadangan perlu dianggarkan agar langkah-langkah keutamaan cadangan yang perlu disegerakan.Secara keseluruhannya, ABIM menerima baik kesungguhan Suruhanjaya Diraja dalam mengkaji aspek-aspek penambahbaikan perjalanan dan pengurusan PDRM. Kini, menjadi tanggungjawab kerajaan pula untuk meneruskan agenda pembaharuan dan melaksanakan secara serius, komited dan konsisten cadangan-cadangan yang dikemukakan.
AZIZUDDIN AHMADSetiausaha Agung ABIM
Sang Pencerah
13 years ago
0 comments:
Post a Comment