Wednesday, August 20, 2008

Uitm 10% untuk bukan Melayu


Apabila Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) mengemukakan cadangan untuk membuka kuota 10 % kepada kaum Bukan Melayu untuk memasuki Uitm, pelbagai pihak menentang dan memburaikan perasaan marah kononnya ia satu pengkhianatan besar terhadap kaum peribumi iaitu Melayu.

Penentangan itu juga ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswi Uitm dengan berarak ke jalan raya membawa sepanduk (dan berpakaian hitam) dengan melaungkan @ menempik perasaan marah mereka terhadap cadangan tersebut. Pelbagai peringkat dan cawangan Uitm seluruh negara turun beraksi di jalan-jalan dan menghantar memorandum untuk membantah cadangan tersebut.

Dilihat secara umumnya ia menambahkan lagi siri “keparahan” isu- isu berkaitan Melayu selepas peristiwa sejarah yang besar iaitu peritiwa 8 Mac. Ia seolah-olah kesinambungan terhadap kehakisan sisa-sisa ketuanan orang-orang Melayu. Secara rasionalnya, ramai pihak berpendapat ia hanya isu “orang-orang” politik. Isu untuk menarik kaum bukan Melayu untuk menyokong perjuangan parti masing-masing.

Namun, apa yang ingin saya lihat di sini ialah, kenapa perasaan marah untuk membela nasib orang Melayu hanya kedengaran terhadap isu 10% ini dan seolah-olah ia satu kemuncak kepada kemarahan orang Melayu? Pendek kata kalau cadangan ini menjadi kenyataan ia menampakkan bahawa orang Melayu sudah tidak ada apa-apa lagi di tanah air sendiri. Adakah siri-siri ketuanan Melayu yang sebelum ini sudah pun terhakis?

Mahasiswa-mahasiswi yang turun berarak di jalan-jalan pun pun baru sekarang menampakkan kononnya pembelaan mereka terhadap nasib kaum sendiri. Di mana mereka ketika isu biasiswa 45 peratus diberikan kepada kaum bukan bumiputera? Bahkan isu 45 peratus sudah pun dibincangkan di dalam dewan parlimen. Harus diingatkan bahawa walaupun cadangan itu dikemukan oleh Menteri Besar Selangor, beliau tidak ada kuasa untuk merealisasikan cadangan tersebut. Kenapa kita harus risaukan isu 10% ini sedangkan isu 45% biasiswa tersebut tidak dirisaukan sedemikian rupa?

Saya secara peribadinya melihat isu ini bukan cetusan idea yang baru pada kadarnya, pada zaman Tun Dr Mahathir pun pernah dibuka 10% kepada kaum bukan melayu untu memasuki MRSM. Namun gelombang yang kita lihat hari ini tidak pun berlaku pada zaman tersebut. Oleh itu di dalam sebarang bentuk tindakan mahupun mengemukan sesuatu cadangan hendak dilihat dan difikir secara rasionalnya,

Tan Sri Khalid juga harus berfikiran rasional dan melihat apakah implikasi terhadap cadangan tersebut dan rakyat juga (terutamanya Melayu) juga harus ada pendirian sedemikian rupa. Janganlah kita berbalah seolah-olah umat Melayu ini tidak dapat dipisahkan lagi dengan sifat suka berbalah, iri hati, dengki mendengki dan sering berpandangan negatif sesama sendiri. Wallahua’lam.

Monday, August 11, 2008

Forum Mengancam Kedudukan Islam??

Forum anjuran Majlis Peguam Malaysia telah menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Api kemarahan itu sudah mula terasa bahangnya sejak forum itu belum berlangsung lagi. walaupun begitu, pihak penganjur tetap meneruskan agenda forum tersebut. Maka terjadilah sepertimana yang berlaku pada 2 hari yang lalu. Hal itu mungkin akan lebih gamat jadinya sekiranya tiada campur tangan oleh pihak polis. Sekiranya sebelum ini banyak isu bersentuh dengan "perkauman" dibicarakan, kemungkinan sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan baik maka isu perkauman itu akan berubah kepada isu "agama".

Adakan forum tersebut boleh mengancam kedudukan Islam? Apalah sangat hendak dibandingkan forum tersebut dengan kedudukan Islam di dalam negara yang majoritinya umat Islam ini? Adakah umat Islam di negara ini terlalu sensitif apabila haknya dibicarakan sebegitu rupa? Ya, persoalan ini telah pun dijawab 2 hari yang lalu, apabila umat Islam telah pun bersatu dan berkumpul dihadapan Majlis peguam untuk mendesak pihak penganjur memberhentikan forum tersebut. Malah, perkara ini telah pun disuarakan sebelum berlangsungnya forum tersebut lagi.

Bagi saya, kita tidak menyekat mana-mana pihak untuk berbicara tentang apa jua persoalan yang dikatakan kita berada di dalam negara "Demokrasi" ini, namun dari segi warasnya sekiranya perkara tersebut boleh memberi kesan sehingga pertelingkahan yang besar dan boleh menggugat keamanan di dalam masyarakat apakah rasionalnya forum tersebut diteruskan secara terbuka itu? Ia boleh menimbulkan syak wasangka dikalangan umat Islam terhadap pihak penganjur tersebut. Syak wasangka ini akan berterusan sekiranya pelbagai isu yang cuba dibangkitkan itu boleh menimbulkan kemarahan di pihak yang lain. Kita marah sekiranya isu yang melibatkan sensitiviti kita di bicarakan secara terbuka oleh orang lain, maka kenapa kita terlampau angkuh untuk membicarakan sesuatu yang menyentuh sensitiviti dipihak yang lain?

Namun saya tercari-cari dimanakah pihak yang terlampau KUAT untuk mempertahankan tentang masalah mengenai "Ketuanan Bangsa" mereka tetapi terlalu senyap apabila isu berkaitan agama mereka disentuh oleh pihak yang lain?????? kenapa tidak sekuat itu?????

Thursday, August 07, 2008

Pastikan Pertahan Identiti Negara Ini....

Konflik politik dalam negara pada waktu ini begitu menarik, menarik untuk dijadikan bahan cerita di kedai kopi mahupun lain-lain tempat. Malah ia menjadi antara bahan menarik untuk diulas di dalam usrah mana-mana gerakan Islam di Malaysia. Namun, ia menjadi satu kebimbingan bagi mereka yang memikirkan masa depan geopolitik bagi negara ini. Bahkan ia menjadi satu kebimbingan yang besar bagi kedudukan sesuatu kaum yang menjadi majoriti di Negara ini.

Tercetusnya isu yang hangat pada baru-baru ini dengan kekosongan Parlimen Permatang Pauh serta pengumuman SPR tentang tarikh pilihanraya tersebut dan dakwaan isu liwat ke atas Penasihat PKR sudah pasti akan "memaku" perhatian rakyat terhadap sistem politik di negara ini. Mungkin rakyat tidak senang duduk selagi isu ini tidak sampai ke kemuncaknya. Isu-isu lain mungkin akan menjadi kecil selagi isu politik tidak ada penghujungnya. Rakyat juga akan tertunggu- tunggu satu tarikh keramat iaitu 16 September ini sama ada betulkah pimpinan kerajaan akan bertukar tangan pada tarikh tersebut.

Bahkan isu muzakarah antara PAS dan UMNO sudah tidak banyak kedengarannya, rakyat mungkin tertanya-tanya sama ada perkara ini akan berlaku ataupun tidak. Namun bagi yang ingin melihat kesatuan di dalam beberapa perkara asas, begitu menuntut untuk berlakunya muzakarah tersebut. Maka ia terpulang maklum kepada pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya.

Apa pun yang akan terjadi, kepada sesiapa mahupun kumpulan mana yang akan memerintah pastikan identiti negara ini dipertahankan. Kita tidak gusar atau bimbang kerana di dalam mana-mana kumpulan politik yang ada di negara ini adanya golongan yang mempunyai akidah (islamiyyah) yang sama, sekiranya "anda" dipertanggungjawab sebagai pemerintah di negara ini pastikan identiti negara ini dipertahankan dan berpakatlah demi mempertahankannya.

Saturday, August 02, 2008

Upacara Tugu Negara

Masih diteruskan. Itulah yang berlaku semalam sempena menyambut hari pahlawan iaitu upacara meletakkan kalung bunga mahupun tabik hormat. Saya sendiri sudah lama mendengar akan fatwa larangan melakukan upacara tersebut. Namun, mengapa pemimpin-pemimpin masih meneruskan upacara ini? tidak tahukah mereka tentang larangan tersebut? kurang membacakah mereka tentang fatwa tersebut? atau mereka mengetahui namun tidak mengambil berat akan perkara tersebut. wallahua'lam

Di sini saya mengambil kenyataan Dr Asri Zainal Abidin Mufti Kerajaan Negeri Perlis di www. drmaza.com

“Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah patung-patung ini yang kamu berdiri di hadapannya (memujanya)? Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya 50-54)”

Islam Menyatukan....(PAS + UMNO)


Sedih melihat pertempuran pemikiran dan ideologi politik umat Islam di Malaysia. Atas dasar apakah sehingga mereka tidak dapat mencari titik pertemuan bagi meleraikan kecelaruan yang mengundang keparahan kepada umat. Tidak terfikirkah mereka atas dasar sesama Muslim maka perlu mereka duduk semeja bagi mencari titik pertemuan tersebut.

Bukan bicara siapa yang terdesak. Soalnya, umat yang terdesak untuk melihat titik pertemuan itu dapat dicapai. tidak perlu diwar-warkan ke semarata tempat sehingga celaru umat mendengarnya. Malah, tidak perlu dileburkan prinsip ideologi masing-masing (sekiranya payah untuk dileburkan) namun perlu persengketaan ini dileburkan atas dasar perjuangan yang Haq. Tidak perlu penggabungan itu berlaku (pada waktu ini) tapi perlu disatukan dasar-dasar asas yang perlu dipertahankan.

Maka Islam itu menyatukan, tidak perlu diletakkan asas yang lain, soal bangsa, ketuanan itu belum tentu dapat menyatukan, kerana Islam merangkumi semua merentasi soal bangsa mahupun keturunan.Maka benarlah sekiranya penggabungan ini berlaku maka perlu didasari dengan Islam yang satu.

"Tiada kebaikan pada kebanyakkan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh pendamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kamiakan memberi kepadanya pahala yang besar " (Surah al-Nisa' :ayat 114)