Wednesday, August 20, 2008

Uitm 10% untuk bukan Melayu


Apabila Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) mengemukakan cadangan untuk membuka kuota 10 % kepada kaum Bukan Melayu untuk memasuki Uitm, pelbagai pihak menentang dan memburaikan perasaan marah kononnya ia satu pengkhianatan besar terhadap kaum peribumi iaitu Melayu.

Penentangan itu juga ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswi Uitm dengan berarak ke jalan raya membawa sepanduk (dan berpakaian hitam) dengan melaungkan @ menempik perasaan marah mereka terhadap cadangan tersebut. Pelbagai peringkat dan cawangan Uitm seluruh negara turun beraksi di jalan-jalan dan menghantar memorandum untuk membantah cadangan tersebut.

Dilihat secara umumnya ia menambahkan lagi siri “keparahan” isu- isu berkaitan Melayu selepas peristiwa sejarah yang besar iaitu peritiwa 8 Mac. Ia seolah-olah kesinambungan terhadap kehakisan sisa-sisa ketuanan orang-orang Melayu. Secara rasionalnya, ramai pihak berpendapat ia hanya isu “orang-orang” politik. Isu untuk menarik kaum bukan Melayu untuk menyokong perjuangan parti masing-masing.

Namun, apa yang ingin saya lihat di sini ialah, kenapa perasaan marah untuk membela nasib orang Melayu hanya kedengaran terhadap isu 10% ini dan seolah-olah ia satu kemuncak kepada kemarahan orang Melayu? Pendek kata kalau cadangan ini menjadi kenyataan ia menampakkan bahawa orang Melayu sudah tidak ada apa-apa lagi di tanah air sendiri. Adakah siri-siri ketuanan Melayu yang sebelum ini sudah pun terhakis?

Mahasiswa-mahasiswi yang turun berarak di jalan-jalan pun pun baru sekarang menampakkan kononnya pembelaan mereka terhadap nasib kaum sendiri. Di mana mereka ketika isu biasiswa 45 peratus diberikan kepada kaum bukan bumiputera? Bahkan isu 45 peratus sudah pun dibincangkan di dalam dewan parlimen. Harus diingatkan bahawa walaupun cadangan itu dikemukan oleh Menteri Besar Selangor, beliau tidak ada kuasa untuk merealisasikan cadangan tersebut. Kenapa kita harus risaukan isu 10% ini sedangkan isu 45% biasiswa tersebut tidak dirisaukan sedemikian rupa?

Saya secara peribadinya melihat isu ini bukan cetusan idea yang baru pada kadarnya, pada zaman Tun Dr Mahathir pun pernah dibuka 10% kepada kaum bukan melayu untu memasuki MRSM. Namun gelombang yang kita lihat hari ini tidak pun berlaku pada zaman tersebut. Oleh itu di dalam sebarang bentuk tindakan mahupun mengemukan sesuatu cadangan hendak dilihat dan difikir secara rasionalnya,

Tan Sri Khalid juga harus berfikiran rasional dan melihat apakah implikasi terhadap cadangan tersebut dan rakyat juga (terutamanya Melayu) juga harus ada pendirian sedemikian rupa. Janganlah kita berbalah seolah-olah umat Melayu ini tidak dapat dipisahkan lagi dengan sifat suka berbalah, iri hati, dengki mendengki dan sering berpandangan negatif sesama sendiri. Wallahua’lam.

0 comments: