Monday, April 24, 2006

Mahasiswa Mula Beralih Arah II

Pengaruh Politik Semasa
Tidak dapat dinafikan juga suasana politik semasa yang berlaku di arus perdana banyak memberi impak kepada gerakan pelajar islam. Walaupun terdapat golongan yang menafikannya, namun realitinya dapat dilihat dengan jelas. Apatah lagi dapat dilihat bahawa kelompok politik Malaysia dapat dibahagikan kepada dua. Iaitu kelompok yang kurang mempertahankan islam dengan kelompok yang kuat mempertahankan islam. Sudah pastilah dapat dilihat kebanyakkan gerakan-gerakan pelajar islam jelas kecenderungan mereka terhadap kelompok yang kuat mempertahankan islam. Senario ini adalah petanda yang baik menunjukkan mereka juga cuba membawa mesej amar- ma'ruf di dalam semua aspek termasuk juga politik.

Pengaruh-pengaruh yang dinyatakan di atas terus berjalan sehingga sekarang. Setiap perancangan program-program yang berbentuk tarbiyyah masih beroperasi sampai sekarang. Sistem usrah, ta'lim, liqa tafaqquh fi deen terus dijalankan. Respon terhadap pergolakkan yang berlaku di dalam arus politik sekarang masih juga dilakukan oleh 'sekelompok" mereka. Walaupun "kelompok" ini semakin mengecil, namun kita tidak dapat menafikannya. Walaupun kita dapat melihat suasana suram yang menyelubungi mahasiswa sekarang tetapi usaha-usaha yang dilakukan oleh sebahagian kelompok yang kecil ini masih berlaku.

Mengapa Mahasiswa Sekarang di Cop Sebagai Lesu?
Sesungguhnya saya tidak menafikan akan suara-suara yang mengatakan mahasiswa sekarang ini lesu. Sedikit sebanyak ianya dapat dilihat dengan jelas. Kurangnya suara-suara mahasiswa terhadap pelbagai isu yang melibatkan masyarakat. Meterialisme dan hedonisme sedikit sebanyak menyumbang kepada kelesuan mahasiswa. Fenomena 'cinta anta dan anti' juga banyak menular dikalangan mahasiswa yang terlibat dengan gerakan-gerakan pelajar islam. Sesungguhnya fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap gerakan pelajar islam. Berapa ramai dapat dilihat mereka yang dulunya kuat berbicara soal perjuangan akhirnya tewas apabila terjebak ke dalam fenomena ini. Sedih amat menyedihkan. Namun itulah realitinya. Walaupun kita dapat lihat mahasiswa lesu di dalam memberi respon terhadap isu masyarakat, namun majlis terbiyyah ilmiah masih terus berlangsung walaupun di dalam bilangan yang kecil.

Budaya ilmu masih terus diaktifkan walaupun dalam kelompok yang kecil. Perbincangan ilmiah, bicara fi deen masih terus berlangsung. Kitab rujukan ulama-ulama ''haraki" masih terus dijadikan rujukan. Perbincangan tentang agama yang merangkumi semua aspek masih hangat diperbahaskan. Tindak balas terhadap arus politik negara dikurangkan dengan menitik beratkan perbincangan berbentuk ilmu.

Mahasiswa Sekarang Banyak Bicara Soal Ilmiah
Dapat dilihat sekarang perbincangan berbentuk ilmiah dikalangan mahasiswa makin rancak diperbahaskan. Bukan untuk menafikan mahasiswa terdahulu tidak banyak berbincang soal ilmiah, namun seolah-olah dapat dilihat tercetusnya satu momentum baru yang berlegar dikalangan mahasiswa masa kini. Perbincangan dari perbahasan hukum fiqh, ibadah sehinggalah skop yang lebih besar termasuk gerakan mencari kebenaran di dalam agama makin hangat diperkatakan.Kalau dahulu dapat dilihat mahasiswa hanya berlegar dalam skop gerakan ikhwanul muslimin di Mesir dan juga soal arus politik negara semata-mata, kini tercetusnya satu lagi fenomena iaitu gerakan "mencari kebenaran di dalam agama".

Apa yang dimaksudkan gerakan "mencari kebenaran di dalam agama" ini? kalau dahulu mahasiswa banyak berbicara soal kebenaran dan keadilan di dalam konteks politik, sosial dan juga harakah, kini dapat dilihat mereka juga mencari kebenaran dalam soal yang berkaitan hukum fiqh, ibadah sehinggalah dalam skop yang lebih besar seperti yang dinyatakan tadi. Perjuangan yang meletakkan al-Quran dan as-Sunnah banyak membuka mata dan minda untuk mencari jalan yang mendekatkan mereka kepada dua sumber besar tersebut.

Pengaruh Gerakan Salafi Dikalangan Mahasiswa
Kalau pada awal lagi saya berbicara soal pengaruh gerakan ikhwanul muslimin dan juga politik semasa dikalangan mahasiswa, kini dapat dilihat wujudnya satu pengaruh yang semakin menular dikalangan mahasiswa iaitu gerakan yang mengajak kepada mengikuti jejak salafus soleh dengan meletakkan kebenaran al-Quran dan as-Sunnah sebagai prioritinya. Rujukan kepada ulama-ulama yang lebih muktabar keilmuannya di dalam memperkatakan soal 2 sumber terbesar ini tanpa mengecil-kecilkan ulama-ulama yang lain makin banyak dijadikan rujukan.

Kalau dahulu mahasiswa kurang untuk mengenali kesohehan sesuatu yang berkaitan tentang agama, kini mereka lebih berminat dan berhati-hati di dalam setiap penerimaan dan juga penyampaian. Apatah lagi kalau berbicara soal petikan dan juga penafsiran al-Quran dan juga hadis Nabi sallahua'laihiwasalam. Setiap perbincangan ilmiah bahkan seminar-seminar yang berkonsepkan kepada "mencari kebenaran " ini ramai dihadiri oleh mahasiswa yang berminat dengan hujah-hujah yang dikemukan.

Pengaruh ini bukan sahaja merebak dikalangan mereka yang mengikuti pengajian islam, bahkan mereka yang mengambil pengajian sains, engineering, undang-undang, arkitekture dan sebagainya. Dan dapat dilihat juga mereka yang bukan berlatarkan pengajian islam ini juga lebih menunjukkan minat daripada mereka yang mengambil bidang dalam pengajian islam. Inilah satu fenomena yang mula mengalih pandangan mahasiswa yang terlibat dalam harakah.

Walaupun banyak suara-suara yang memandang serong oleh sebilangan mahasiswa terhadap pengaruh ini, namun inilah hakikat yang semakin membara dikalangan mahasiswa sekarang. Pelbagai cop yang cuba disebarluaskan oleh golongan tertentu seperti cop "gerakan wahabi" yang menyesatkan cuba untuk mengelirukan pandangan orang ramai. Namun disebabkan hujah-hujah yang kuat dikemukan oleh para penceramah yang banyak mempengaruhi mahasiswa ini, perkara tidak dapat mengubahkan keaadaan.Pengaruh ini makin kuat melebarkan sayapnya dikalangan mahasiswa.

Penutup
Inilah antara pengaruh yang banyak menyebabkan mahasiswa sekarang mula beralih arah. Ianya juga banyak menular di dalam gerakan-gerakan pelajar islam. Fenomena baru ini juga banyak membuka mata dan minda sebahagian mahasiswa yang ingin betul-betul memperjuangkan al-Quran dan as-Sunnah dengan mengarah ke arah kebenaran. Ianya juga satu perkembangan yang positif yang banyak membantu budaya ilmu dikalangan mahasiswa yang semakin berminat dengan perbincangan ilmiah yang lebih terbuka. Pengaruh ini juga banyak mengeluarkan minda mahasiswa untuk sedikit keluar dari kepompong sendiri. Kalau dahulu budaya ilmu hanya berlegar di dalam skop mereka sahaja, kini mereka lebih terbuka kepada perbincangan yang lebih membuka minda.

Wallahua'lam

0 comments: