Thursday, March 30, 2006

BEDAH BUKU

AR-RISALAT UT-TABUKIYYAH.The message from Tabuk
Author: Shaikh ul-Islaam Ibn ul-Qayyim.
Publisher: Al-Kitaab & As-Sunnah Publishing (01-Sep-01)
Pages: 110

Description
This Book is instrumental in explaining the true Methodology of adherence to Allaah’s Book, His Messenger’s (sallallaahu alaihi wa sallam) Sunnah, and the Guidance of the sahaabah. True to this well-known insightful approach in delving into the texts, ibn ul-Qayyim starts by explaining the qualities of righteousness and piety that are required from everyone, both in practise and in da’wah. He then proceeds to describe the true meaning of migration to Allaah and his Messenger (sallallaahu alaihi wa sallam), discussing in the process full submission to the Messenger’s (sallallaahu alaihi wa sallam) Sunnah as an integral requirement of eemaan. He then goes on to deliberate on the situations of true misery and true happiness. Toward the end, he stipulates the requirements of the Journey of Migration, presenting along the way some very important insights for sound comprehension of the Qur’aan. In addition to its valuable methodological coverage, this book is very touching in its address to the soul and heart. This is a characteristic that you rarely find in writings of other authors. May Allaah reward Ibn ul-Qayyim profusely.

Wednesday, March 29, 2006

Penyeragaman Tudung Di Sekolah Merupakan Satu Proses Pentarbiyahan

Saya merasakan begitu hairan dan juga terkilan apabila dewan parlimen Malaysia menolak usul berkaitan Karikatur penghinaan ke atas Nabi Muhammad sallahua'laihi wassalam tetapi menjadikan isu pemakaian tudung di sekolah seolah-olah isu besar. Isu ini berbangkit apabila seorang ahli parlimen (melayu-islam)menyatakan bahawa anaknya telah didiskriminasikan kerana tidak memakai tudung di sekolah, lantas dijawab oleh kementerian yang berkenaan dengan tegas menyatakan bahawa tidak ada undang-undang yang menjadikan tudung sebagai pakaian seragam sekolah, namun beliau menambah bahawa pihak kementerian menggalakkan mana-mana pelajar perempuan islam untuk memakai tudung. Dari satu sudut dapat dilihat jawapan ini mungkin tidak ada kegusarannya. Namun dari sudut yang lain jawapan ini boleh disalahtafsirkan dan disalah ertikan oleh mana-mana pihak.

Namun bukan tujuan saya untuk mempertikaikan jawapan tersebut, tetapi jauh disudut hati saya bahawa apa salahnya pihak yang berwajib untuk menjadikan pemakaian tudung di kalangan pelajar wanita di sekolah sebagai satu seragam(untuk pelajar perempuan muslim).Ini kerana ianya merupakan satu sistem pentarbiyahan untuk memberi kefahaman kepada pelajar perempuan muslim bahawa tuntutan menutup aurat merupakan tuntutan yang wajib. Dan saya pasti ramai yang sudah mengetahui akan wujudnya dalil berkaitan tuntutan tersebut. Kecualilah kalau kita cuba memahami ayat tersebut mengikut pemahaman golongan "liberal' yang cuba menyalah tafsirkan ayat tersebut.

Memang tidak ada paksaan di dalam agama, tetapi kita harus memahami bahawa perintah tudung itu merupakan satu perintah wajib kepada wanita untuk menutup aurat mereka.Kita juga harus memahami bahawa pemakaian tudung dikalangan wanita merupakan tuntutan akidah. Kita juga kena memahami bahawa penyeragaman tudung di sekolah merupakan satu sistem pentarbiyahan.Dan kita perlu memahami bahawa menjadikan tudung itu sebagai seragam sekolah merupakan tuntutan yang "berhikmah" kerana untuk mendidik mereka.Tidak timbul soal paksa memaksa kerana ianya merupakan kewajipan yang perlu dituruti.Wajib kepada ibu bapa menyuruh anak perempuan mereka menutup aurat, dan wajib juga kerajaan untuk menyuruh wanita muslim untuk menutup aurat mereka dan saya merasakan di sekolahlah merupakan tempat pentarbiyahan yang terbaik dengan menjadikan tudung itu sebagai satu seragam sekolah.Ianya kerana untuk mendidik para pelajar tentang kewajipan tersebut.

wallahua'lam



Saturday, March 25, 2006

Kesal kenyataan PKPIM berkaitan isu tudung di sekolah

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pkpim berkaitan isu tudung di sekolah di dalam akhbar utusan semalam mencetuskan sedikit kekesalan buat saya. Wallahua'lam saya tidak pasti adakah ianya benar-benar kenyataan penuh yang dilakukan oleh pkpim ataupun akhbar telah mengeksplotasikan kenyataan tersebut.

Bukan niat saya untuk mempertikaikan isi kandungan kenyataan itu, namun timbul diruang hati saya perlukah kita membuat kenyatan terbuka berkaitan isu tersebut dengan menyokong penuh terhadap kenyataan seorang menteri yang berbentuk kontroversi itu? adakah tidak ada isu-isu besar lain yang harus kita suarakan? adakah perlu kita membuat kenyataan seolah-olah umat islam di Malaysia ini tidak memahami tuntutan yang wajib sepertimana perintah Allah ta'la? di mana suara kita berkaitan kenaikan harga minyak petrol? dimana suara kita disaat2 pelajar-pelajar sekolah mengalami keruntuhan moral dan akhlak? perlu kah isu ini di besar-besarkan?

Saya juga kecewa dengan dewan parlimen Malaysia apabila menolak usul tentang karikatur penghinaan Nabi Muhammad tetapi isu tudung ini dijadikan seOlah-oleh isu besar. tidak kah kita memahami bahawa ramai juga ahli parlimen yang bukan islam di dalam parlimen tersebut yang sedang memerhatikan kecelaruan ini?

Memang tidak ada paksaan di dalam agama, tetapi tidak kah kita memahami bahawa perintah tudung itu merupakan satu perintah wajib kepada muslimat untuk menutup aurat mereka? tidakkah kita memahami bahawa pemakaian tudung dikalangan muslimat merupakan tuntutan akidah? tidak kah kita memahami bahawa penyeragaman tudung di sekolah merupakan satu sistem pentarbiyahan? tidakkah kita memahami bahawa menjadikan tudung itu sebagai seragam sekolah merupakan tuntutan yang "berhikmah" kerana untuk mendidikmereka? tidak timbul soal paksa memaksa kerana ianya merupakan kewajipan yang perlu dituruti.wajib kepada ibu bapa menyuruh anakperempuan mereka menutup aurat dan wajib juga kerajaan untuk menyuruh wanita muslim untuk menutup aurat mereka dan di sekolahlah merupakan tempat pentarbiyahan yang terbaik dengan menjadikan tudung itu sebagai satu seragam sekolah.ianya kerana untuk mendidik para pelajar tentang kewajipan tersebut.

Dan amat dikesali kita seolah-olah terperangkap dengan permainan yang dimainkan oleh golongan-golongan liberal yang cuba mencelarukan pemikiran umat islam dengan mempertikaikan keyakinan akidah umat islam secara keseluruhannya.

Tetapi saya bersetuju dengan kenyataan yang dibuat mengenai memperkasakan sistem pendidikan di sekolah. memang sudah sampaimasanya pihak kementerian untuk menilai kembali tentang subjek pendidikan islam di sekolah dengan menjadikan subjek itu sebagai subjek utama yang harus diberi penekanan,penerapan dengan nilai-nilai akhlak islamiyyah yang efektif dengan mengkaji kembali semula isi-kandungan yang telah sedia ada. tahniah dengan kenyataan tersebut.

Di dalam isu tudung tersebut kita tidak perlu menyalahkan sesiapa, kerana itu saya minta pihak yang berwajib dengan kenyataan tersebut membuat penjelasan dengan sebenar-benarnya kerana ianya memberi impak yang besar yang memungkinkan ramai ahli kita terkeliru dengan kenyataan tersebut. Sebab itu saya ingin menyarankan agar, mana-mana pihak yang ingin membuat kenyataan tentang isu-isu seperti ini agar memikirkan natijah yang akan diterima oleh umat islam dan islam khasnya apabila kita keluarkan kenyataan berikut.

wallahua'lam

HIDUP BIAR BERJASA

MOHD NOR ZAIMAN MANSOR
ITD,IIUM

Thursday, March 23, 2006

Permasalahan Berkenaan Solat Ghoib

Seringkali saya diajukan persoalan mengenai dengan solat ghoib, apabila pihak masjid menyatakan bahawa akan dilakukan solat tersebut apabila selesai solat juma'at nanti kerana sebab kematian. Persoalan yang sering diutarakan adalah apa sebenarnya solat ghoib? bagaimana solatnya? kenapa ada yang buat dan ada yang tak buat, apa hukumnya?boleh bagi penerangan?

Wallahu ta'ala a'lam, di sini saya mengemukan pendapat yang diberikan oleh Ustaz Abu Hamzah Yusuf mengenai permasalahan solat ghoib . Menurut beliau tidak ada definisi khusus tentang solat Ghoib, namun untuk lebih memahami, maka gambaran sederhananya ialah: kita mensolatkan seseorang yang telah diketahui meninggal dunia di suatu daerah, sedang jenazahnya tidak hadir di hadapan kita / tidak hadir di tempat kita. Kemudian, solat Ghoib dilakukan sama seperti halnya solat jenazah biasa.Asal munculnya istilah solat Ghoib adalah berdasarkan satu hadis, bahawa Nabi SAW mengumumkan kematian raja Najasyi pada harinya kemudian keluar bersama para sahabatnya menuju lapangan lalu membuat shof dan bertakbir empat kali. (HR Bukhori Muslim dari sahabat Abu Hurairah).

Adapun mengenai hukumnya, para ahli ilmu berselisih hingga tiga pendapat yang masyhur. Pertama: bahawa solat ghoib disyariatkan dan ia adalah sunnah, ini pendapatnya Syafi'i dan Ahmad, berdalil dengan hadits di atas.
Kedua: hukum ini berlaku khusus bagi jenazahnya raja Najasyi, tidak untuk yang lainnya, ini pendapatnya Malik dan Abu Hanifah dengan dalil bahawa peristiwa solat Ghoib ini tidak pernah ada kecuali pada kejadian meninggalnya raja Najasyi.
Ketiga: mengkompromikan / menjamak antara dalil-dalil, yakni apabila seseorang meninggal dunia di suatu daerah / negeri dan belum / tidak ada yang mensolatkannya, maka dilakukan solat Ghoib, seperti yang dilakukan Nabi SAW atas raja Najasyi kerana ia meninggal di lingkungan / tempat orang-orang kafir dan belum disolatkan. Adapun jika telah disolatkan di tempat dia meninggal atau tempat lainnya, maka tidak dilaksanakan solat Ghoib kerana kewajiban untuk mensolatkannya telah gugur dengan solatnya kaum muslimin atasnya. Ini pendapatnya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan dirajihkan oleh Al Khattabi, serta Abu Dawud membuat bab tentangnya dalam Sunannya. Di antara pendapat-pendapat ini yang kami lihat lebih kuat dan menurut kami lebih dekat kepada kebenaran adalah pendapat yang ketiga. Wal 'ilmu indallah

Monday, March 20, 2006

Bantahan Kenaikan Harga Minyak Di Besut

Nampaknya keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dipasaran benar-benar memberi impak kepada rakyat. Bantahan demi bantahan masih diteruskan lagi. Di sana-sini masih lagi kedengaran suara untuk meyuruh kerajaan menilai kembali keputusan tersebut. Kenaikan barangan keperluan dipasaran menambahkan lagi kesengsaraan kepada rakyat walaupun kerajaan memberi jaminan untuk mengawal kenaikan tersebut. Namun adakah para peniaga akan dapat terus bertahan dengan kenaikan kos perniagaan mereka? ya memang perlu dinilai kembali.

Pada 17 march yang lepas, di tempat saya sendiri pun tidak terlepas dijadikan medan untuk rakyat menyuarakan bantahan mereka. Walapun sudah mendapat penjelasan daripada daripada pihak kerajaan tentang relevennya menaikkan harga minyak di pasaran, namun beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat termiskin mengatasi segalanya. Nasib rakyat perlu di bela. Perbezaan hidup antara mereka yang kaya dan mereka yang miskin begitu ketara. Yang kaya terus bertambah kaya, yang miskin terus dilanda kemiskinan. Siapa yang kaya? para pemimpin. siapa yang miskin? mereka "rakyat termiskin". Seharusnya kerajaan menilai kembali kesan kenaikan harga in. Apaguna kita melaburkan projek yang besar semata-mata untuk menaikkan nama Malaysia gah di mata dunia walhal ramai rakyatnya hidup sengsara.

wallahua'lam
(Gambar: Perakan.net)

Info Hadis Untuk Risalah Tarbiyyah

Kedudukan Hadis "Perselisihan Umatku Adalah Rahmat":
Kita sering terdengar ramai para penceramah apabila mengkomentarkan sesuatu permasalahan yang banyak diperselisihkan akan menyebut satu hadis yang berbunyi ''perselisihan umatku adalah rahmat". Maka apabila timbul sebarang kemushkilan yang melibatkan perbezaan pendapat akan diakhiri bahawa ianya sesuatu rahmat, maka kita perlu bertoleransi. Di dalam info ini kita akan melihat kedudukan hadis tersebut yang sering dijadikan sandaran terhadap Rasulullah sallahu'alaihi wassalam adakah ianya benar atau sebaliknya.

Pandangan Ulama tentang Hadis ini:
Al-Hadis merupakan sumber rujukan utama umat Islam setelah Al-Qur’an. Kedudukan Al-Hadis sedemikian penting, maka mengetahui kesohehan (kebenaran)nya adalah suatu yang perlu. Namun dalam menentukan suatu hadis itu soheh atau tidak, bukanlah hal yang mudah. Oleh kerana itu kita dilarang untuk sembarangan menukil hadis, jika belum pasti kesohehannya.

Al ‘Allamah Ibnu Hazm berkata dalam kitabnya Al Ihkam fi Ushulil Ahkam Juz 5/hal 64 setelah beliau mengisyaratkan bahawasanya “ucapan” itu bukan hadis : “Ini adalah ucapan rosak yang paling rosak. Kerana jika perselisihan itu rahmat, tentu kesepakatan itu sesuatu yang dibenci dan tidak ada seorang muslim pun yang mengatakan demikian. Yang ada hanya kesepakatan atau perselisihan, rahmat atau dibenci. Di kesempatan lain beliau mengatakan : “batil dan dusta”. (Silsilah Ahadits Adh Dho’ifah juz 1, hadis no 57 hal 141)

Dalam kitab Zajrul Mutahawin bi Adz Dzoror Qo’idatil Ma’dzaroh wa Ta’awun hal 32, yang ditulis oleh Hamad bin Ibrahim Al Utsman . Disebutkan bahawa : “Hadis ini lemah secara sanad dan matan. Tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis dengan lafaz ini. Adapun yang masyhur adalah hadis “Perselisihan para sahabatku adalah rahmat”. Dan sebahagian dari ulama ahli usul menyebutkan hadits tersebut sebagaimana yang dilakukan Ibnul Hajib di dalam Mukhtasarnya tentang usul fiqih.

Berkata Abu Muhammad ibnu Hazm : “Adapun hadis yang telah disebutkan “Perselisihan umatku adalah rahmat” adalah kebatilan dan kedustaan yang bermuara dari orang yang fasik.” (Al Ahkam fi Ushulil Ahkam 5/61)

Al Qashimy mengatakan (sanad dan matan) hadis ini, dalam kitab Mahasinut Ta’wil 4/928 : “Sebahagian ahli tafsir menyebutkan bahawa hadis ini tidak dikenal kesohehan sanadnya. At Thabrany dan Al Baihaqy meriwayatkannya di dalam kitab Al Madkhal dengan sanad yang lemah dari Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Adapun ‘ilat (kelemahan) hadis ini adalah :
1. Adanya perawi yang bernama Sulaiman bin Abi Karimah, Abu Hatim Ar Razy melemahkannya.

2. Perawi yang bernama Juwaibir, dia seorang Matrukul Hadits (ditinggalkan haditsnya) sebagaimana yang dinyatakan Nasa’i, Daruquthny. Dia meriwayatkan dari Adh Dhahhak perkara-perkara yang palsu termasuk “hadits” ini.

3. Terputusnya (jalur riwayat) antara Adh Dhahhak dan Ibnu ‘Abbas.Berkata sebahagian ulama : “Hadis ini menyelisihi nas-nas ayat dan hadis, seperti firman Allah Ta’ala : “Dan mereka sentiasa berselisih kecuali orang yang yang dirahmati Rabbmu” dan sabda Rasulullah “Janganlah kalian berselisih, maka akan berselisih hati-hati kalian” (Riwayat Ahmad, Abu Daud) dan hadis-hadis yang lain banyak sekali. Maka kesimpulannya bahawa kesepakatan (di atas kebenaran) itu lebih baik daripada perselisihan.

Wallahua'lam

Wednesday, March 15, 2006

SureHeboh TV3 Bukan Hanya Perlu Tukar Nama Tetapi juga Pengisian Program

Penukaran nama sure heboh kepada jom heboh oleh pihak penganjur karnival sure heboh iaitu tv3 merupakan langkah yang ditunggu-tunggu oleh pencinta bahasa kebangsaan. Ianya menunjukkan keprihatinan tv3 terhadap memartabatkan bahasa kebangsaan walaupun mengambil masa yang agak lama iaitu 3 tahun. Langkah ini juga disambut baik oleh ketua pemuda UMNO Malaysia iaitu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn.

Sesungguhnya saya secara peribadi juga memuji langkah seperti ini. Namun saya juga ingin menyarankan kepada pihak tv3 agar mengambil langkah yang terbaik untuk menukar pengisian terhadap program yang dianjurkan iaitu Konsert Sure heboh. Konsert sure heboh seperti biasa akan dilangsungkan pada malam terakhir setiap kali karnival tersebut dijalankan. Sesungguhnya saya sebagai seorang yang mengambil pendekatan positif terhadap seruan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memartabatkan Islam Hadhari di Malaysia ini dapat merasakan bahawa konsert tersebut bertentangan dengan syara', etika, budaya orang timur yang kaya dengan adat budaya bahkan juga bertentang dengan konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Konsert tersebut sepertimana dilihat menjadikan medan pergaulan bebas anak-anak muda yang ramainya datang dari kawasan sekitar tapak karnival tersebut. Penampilan artis-artis-hiburan yang membawa hiburan yang melalaikan dibimbangi akan menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral yang jelas sekali bertentangan dengan etika dan moral sebagai Muslim. Sesungguhnya dapat diperhatikan majoriti yang menghadiri konsert tersebut adalah anak muda bangsa Melayu. Bahkan saya juga dapat menjustifikasikan bahawa bukan sahaja melibatkan anak-anak muda tetapi mereka yang digelar sebagai ibu bapa kepada anak muda ini. Betapa ramainya ibu bapa yang sanggup mendukung anak-anak mereka untuk menyaksikan konsert tersebut yang padanya menyebabkan ramai ibu bapa sekarang ini turut juga jatuh akhlak mereka.

Sesungguhnya saya menyarankan kepada pihak tv3 untuk menyediakan hiburan yang tidak melalaikan kepada anak bangsa dengan merujuk kepada Jabatan-jabatan agama seperti JAKIM dan juga pihak MUFTI.Sekiranya pihak tv3 sanggup untuk turut juga mengubah pengisian karnival Jom Heboh dengan mananamkan nilai moral yang baik sesuai tuntutan Perdana Menteri untuk memartabatkan Islam Hadhari ini sesungguhnya ianya akan amat dihargai oleh semua pihak yang ingin melihat anak bangsa berdiri teguh dengan nilai muslim yang sejati.

Akhir sekali renungi Hadis Rasulullah sallahua'laihiwassalam berikut:

Diriwayatkan dalam sebuah hadits dari Anas Radhiyallahu 'anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Ertinya : Tidak akan datang kiamat sehingga di muka bumi tidak diucapkan lagi lafaz Allah". (Shahih Muslim, Kitab Al-Iman, Bab Dzahaabil Iman Akhiruzzaman 2:178)

Ibnu Katsir berkata : "Terdapat dua pendapat mengenai makna hadits ini, iaitu :

1) Maknanya, bahawa tak ada lagi orang yang mengingkari kemungkaran dan melarang orang lain melakukannya. Pengertian ini diambil dari sabda beliau : ".... sehingga tidak ada lagi diucapkan Allah, Allah". sebagaimana pula yang tertera dalam hadits Abdullah bin Amr : "Maka pada waktu itu hanya tinggal orang-orang bodoh yang tidak mengerti kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran". (Musnad Ahmad 11:181-182 dengan syarah Ahmad Syakir. Beliau berkata. "Isnadnya shahih". Mustadrak Al-Hakim 4: 435, dan beliau berkata. "Ini adalah hadits shahih menurut syarat Syaikhani (Bukhari dan Muslim) apabila Al-Hasan mendengarnya dari Abdullah bin Amr". Perkataan Al-Hakim ini juga disetujui oleh Adz-Dzahabi)

2) Sehingga lafaz Allah tidak disebut lagi di muka bumi dan tidak lagi dikenal nama itu. Hal ini terjadi ketika zaman sudah rosak, nilai kemanusiaan telah hancur, kekafiran, kefasikan, dan kemaksiatan telah merajalela. (An-Nihayah fil fitan wal Malahin 1: 186 dengan tahqiq Dr Thaha Zain)

Wallahua'lam

Monday, March 13, 2006

Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari324H (SIRI 1)

Setelah beberapa isu yang berkaitan isu semasa yang saya sentuh pada tulisan yang lepas, pada tulisan kali ini insyaAllah saya kembali menyentuh isu yang berbentuk ilmiah sedikit. Pada tulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang satu tulisan yang berbicara tentang seorang tokoh yang sudah pasti dikenali umum. Beliau ialah Al-Imam Abu al-Hassan al-Asya'ari (324H).

Kita secara umumnya mengetahui bahawa ramai dikalangan kita apabila ditanya apakah aqidah yang dianuti, maka sudah pastilah ada dikalangan kita yang menjawab mereka berpegang pada aqidah 'Asya'irah. 'Asya'irah adalah disandarkan pada nama beliau iaitu Abu Hassan al-Asya'ari. Namun secara tuntasnya adakah kita benar-benar mengenali siapa dia sebenarnya Al-Imam Abu Hassan Asya'ari ini? dan apakah iktikad yang dipegang oleh beliau?Adakah beliau berpegang pada akidah yang menta'wil sifat-sifat Allah seperti "istiwa" yang dita'wilkan sebagai kuasa ataupun beliau berpegang pada akidah salafus soleh yang berpegang teguh pada setiap khabaran dari Allah ta'ala tentang sifat-sifatnya dan khabaran dari Rasulullah tanpa menta'wilkannya?

Namun kita tidak menafikannya bahawa ada dikalangan kita yang betul-betul memahami siapa dia Al-Imam Abu hassan Asya'ari ini dan apakah iktikad beliau. Tulisan ini hanyalah untuk berkongsi dan mengenali siapakah tokoh yang asyik kita berbicarakan ini.

Nama sebenar beliau adalah Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak, Abu al-Hassan dari keturunan sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy'ari. Beliau dilahirkan pada tahun 260 H. Seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab para ulama, mereka menyatakan bahawa Imam Abu Hassan al-Asya'ari telah melalui beberapa peringkat aqidah seperti berikut:
  • Aqidah Muktazilah yang kemudian bertaubat daripadanya
  • Setelah keluar daripada Muktazailah beliau telah mengisbatkan sifat al-Aqliyyah yang tujuh iaitu Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sami', Basar dan Kalam. Beliau masih menta'wil(mengubah) sifat-sifat khabariah yang disebutkan di dalam al-Quran sepeti muka, dua tangan, tapak kaki dan lain-lain.
  • Diakhir hayatnya beliau kembali kepada aqidah ahlu sunnah wal jamah iaitu mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak mentasybihkan sifat-sifat Allah, iaitu mengikut jalan salafus soleh yang mengikuti al-Quran dan sunnah

Al-Imam Ibn Kathir (774 H) di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah(jilid 11 m/s 139) menukilkan dari Bn Khalikan menyatakan bahawa Abu Hassan al-Asya'ari pernah duduk di dalam majlis syeikh Abi Ishaq al-Mawarzi. dan adalah Imam al-Asy'ari muktazilah kemudian dia telah bertaubat daripadanya di atas mimbar Jami al-Basrah sambil menyebutkan keburukan dan kesalahan muktazilah.

Al-Subki (771 H) di dalam al-Tabaqat al-syafieyyah al-Kubra(m/s347) menyatakan Imam Abu Hasan al-Asya'ari pada mulanya berguru dengan Abu Ali al-Jubbai dan mengikutinya dalam aqidah Muktazilah. Beliau berpegang dengan mazhab Muktazilah selama 40 tahun sehingga beliau menjadi seorang Imam dalam Muktazilah. Tatkala Allah mengkehendaki untuk menolong agama-Nya maka Allah menerangkan hatinya untuk mengikuti kebenaran. Kemudian beliau duduk di dalam rumahnya selama 15 hari. Selepas itu beliau keluar ke masjid Jami' dan naik ke atas mimbar untuk memberitahu bahawa beliau telah bertaubat dari aqidah Muktazilah.

Bersambung...

(ikuti seterusnya, Apakah yang menyebabkan Abu Hassan Asya'ari keluar dari Muktazilah)

Monday, March 06, 2006

Kenaikan Harga Minyak:Bebanan Untuk Rakyat

"Dalam isu ini, pihak kerajaan tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai korban. Sepatutnya pihak kerajaanlah yang terlebih dahulu berkorban untuk rakyat. Apa guna kita melaungkan slogan "bekerja untuk rakyat" walhal realitinya rakyatlah yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas demi mencari kos untuk sara hidup sebaliknya para pemimpin hidup di dalam keaadan mewah lagi memewahkan. "

Kenaikan harga minyak secara mengejut oleh kerajaan baru baru ini benar-benar memberi impak yang besar kepada rakyat di pelbagai peringkat. Kenaikan harga runcit bagi produk petroleum termasuk diesel daripada RM1.62 kepada RM1.92 selitar bagi gred RON 97 manakal harga Petrol RON 92 pula naik kepada 1.88 seliter. Kenaikan harga yang tertinggi setakat ini benar-benar memberi bebanan kepada rakyat terutama rakyat termiskin.

Sudah menjadi lumrah apabila kenaikan harga minyak di pasaran secara tidak langsung harga barangan-barangan keperluan yang lain juga akan turut meningkat. Ini kerana kesan kenaikan ini bukan hanya dirasai oleh pengguna tetapi juga kepada mereka yang menjadi pembekal barangan-barangan kepada pengguna yang lain. Walaupun jaminan yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk mengawal sebarang kenaikan harga di pasaran namun ianya tidak dapat dielakkan kerana pelbagai kos pengeluaran dan pembekalan juga akan meningkat. Secara tidak langsung peningkatan perbelanjaan para pengguna akan turut meningkat.

Image hosting by Photobucket
Rakyat merasai bebanan ini!


Walaupun dikatakan kenaikan ini berpunca daripada kenaikan minyak di pasaran antarabangsa, tetapi kerajaan juga harus memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat yang akan menanggung kos perbelanjaan hidup yang meningkat. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi mungkin tidak akan mengalami kesan yang begitu serius tetapi bagaimana pula mereka yang mempunyai pendapatan yang rendah? sudah pasti akan merasai kesan yang amat sangat.

Kerajaan juga harus menjawab secara jujur adakah kenaikan harga minyak ini ekoran ekonomi negara berada pada tahap yang membimbangkan? ataupun kerajaan sudah tidak mempunyai duit untuk menampung keperluan ekonomi negara? seharusnya kerajaan tidak harus bersembunyi dengan mencari pelbagai alasan yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai korban.

Image hosting by Photobucket
Tidak kasihankah pemimpin pada kanak-kanak ini?

Kenaikan harga minyak dan barangan keperluan yang lain akan membebankan bagi rakyat termiskin. Kos sara hidup yang sudah sedia tinggi ini akan menambahkan lagi bebanan kepada mereka ekoran daripada kenaikan ini. Tidak ada guna kita menjalankan pelbagai projek-projek besar padahal tidak mendatangkan faedah kepada golongan seperti ini. Bagaimana pula kepada mereka yang masih menuntut terutamanya para pelajar? sudah pasti merasai kesan daripada kenaikan ini. Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang senang mungkin tidak terasa kesannya. Tetapi bagaimana mereka yang datang daripada keluarga yang susah seperti petani, nelayan dan sebagainya sudah pastilah akan amat merasainya.

Dalam isu ini, pihak kerajaan tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai korban. Sepatutnya pihak kerajaanlah yang terlebih dahulu berkorban untuk rakyat. Apa guna kita melaungkan slogan "bekerja untuk rakyat" walhal realitinya rakyatlah yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas demi mencari kos untuk sara hidup sebaliknya para pemimpin hidup di dalam keaadan mewah lagi memewahkan.