Thursday, March 23, 2006

Permasalahan Berkenaan Solat Ghoib

Seringkali saya diajukan persoalan mengenai dengan solat ghoib, apabila pihak masjid menyatakan bahawa akan dilakukan solat tersebut apabila selesai solat juma'at nanti kerana sebab kematian. Persoalan yang sering diutarakan adalah apa sebenarnya solat ghoib? bagaimana solatnya? kenapa ada yang buat dan ada yang tak buat, apa hukumnya?boleh bagi penerangan?

Wallahu ta'ala a'lam, di sini saya mengemukan pendapat yang diberikan oleh Ustaz Abu Hamzah Yusuf mengenai permasalahan solat ghoib . Menurut beliau tidak ada definisi khusus tentang solat Ghoib, namun untuk lebih memahami, maka gambaran sederhananya ialah: kita mensolatkan seseorang yang telah diketahui meninggal dunia di suatu daerah, sedang jenazahnya tidak hadir di hadapan kita / tidak hadir di tempat kita. Kemudian, solat Ghoib dilakukan sama seperti halnya solat jenazah biasa.Asal munculnya istilah solat Ghoib adalah berdasarkan satu hadis, bahawa Nabi SAW mengumumkan kematian raja Najasyi pada harinya kemudian keluar bersama para sahabatnya menuju lapangan lalu membuat shof dan bertakbir empat kali. (HR Bukhori Muslim dari sahabat Abu Hurairah).

Adapun mengenai hukumnya, para ahli ilmu berselisih hingga tiga pendapat yang masyhur. Pertama: bahawa solat ghoib disyariatkan dan ia adalah sunnah, ini pendapatnya Syafi'i dan Ahmad, berdalil dengan hadits di atas.
Kedua: hukum ini berlaku khusus bagi jenazahnya raja Najasyi, tidak untuk yang lainnya, ini pendapatnya Malik dan Abu Hanifah dengan dalil bahawa peristiwa solat Ghoib ini tidak pernah ada kecuali pada kejadian meninggalnya raja Najasyi.
Ketiga: mengkompromikan / menjamak antara dalil-dalil, yakni apabila seseorang meninggal dunia di suatu daerah / negeri dan belum / tidak ada yang mensolatkannya, maka dilakukan solat Ghoib, seperti yang dilakukan Nabi SAW atas raja Najasyi kerana ia meninggal di lingkungan / tempat orang-orang kafir dan belum disolatkan. Adapun jika telah disolatkan di tempat dia meninggal atau tempat lainnya, maka tidak dilaksanakan solat Ghoib kerana kewajiban untuk mensolatkannya telah gugur dengan solatnya kaum muslimin atasnya. Ini pendapatnya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan dirajihkan oleh Al Khattabi, serta Abu Dawud membuat bab tentangnya dalam Sunannya. Di antara pendapat-pendapat ini yang kami lihat lebih kuat dan menurut kami lebih dekat kepada kebenaran adalah pendapat yang ketiga. Wal 'ilmu indallah

0 comments: