Monday, March 06, 2006

Kenaikan Harga Minyak:Bebanan Untuk Rakyat

"Dalam isu ini, pihak kerajaan tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai korban. Sepatutnya pihak kerajaanlah yang terlebih dahulu berkorban untuk rakyat. Apa guna kita melaungkan slogan "bekerja untuk rakyat" walhal realitinya rakyatlah yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas demi mencari kos untuk sara hidup sebaliknya para pemimpin hidup di dalam keaadan mewah lagi memewahkan. "

Kenaikan harga minyak secara mengejut oleh kerajaan baru baru ini benar-benar memberi impak yang besar kepada rakyat di pelbagai peringkat. Kenaikan harga runcit bagi produk petroleum termasuk diesel daripada RM1.62 kepada RM1.92 selitar bagi gred RON 97 manakal harga Petrol RON 92 pula naik kepada 1.88 seliter. Kenaikan harga yang tertinggi setakat ini benar-benar memberi bebanan kepada rakyat terutama rakyat termiskin.

Sudah menjadi lumrah apabila kenaikan harga minyak di pasaran secara tidak langsung harga barangan-barangan keperluan yang lain juga akan turut meningkat. Ini kerana kesan kenaikan ini bukan hanya dirasai oleh pengguna tetapi juga kepada mereka yang menjadi pembekal barangan-barangan kepada pengguna yang lain. Walaupun jaminan yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk mengawal sebarang kenaikan harga di pasaran namun ianya tidak dapat dielakkan kerana pelbagai kos pengeluaran dan pembekalan juga akan meningkat. Secara tidak langsung peningkatan perbelanjaan para pengguna akan turut meningkat.

Image hosting by Photobucket
Rakyat merasai bebanan ini!


Walaupun dikatakan kenaikan ini berpunca daripada kenaikan minyak di pasaran antarabangsa, tetapi kerajaan juga harus memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat yang akan menanggung kos perbelanjaan hidup yang meningkat. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi mungkin tidak akan mengalami kesan yang begitu serius tetapi bagaimana pula mereka yang mempunyai pendapatan yang rendah? sudah pasti akan merasai kesan yang amat sangat.

Kerajaan juga harus menjawab secara jujur adakah kenaikan harga minyak ini ekoran ekonomi negara berada pada tahap yang membimbangkan? ataupun kerajaan sudah tidak mempunyai duit untuk menampung keperluan ekonomi negara? seharusnya kerajaan tidak harus bersembunyi dengan mencari pelbagai alasan yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai korban.

Image hosting by Photobucket
Tidak kasihankah pemimpin pada kanak-kanak ini?

Kenaikan harga minyak dan barangan keperluan yang lain akan membebankan bagi rakyat termiskin. Kos sara hidup yang sudah sedia tinggi ini akan menambahkan lagi bebanan kepada mereka ekoran daripada kenaikan ini. Tidak ada guna kita menjalankan pelbagai projek-projek besar padahal tidak mendatangkan faedah kepada golongan seperti ini. Bagaimana pula kepada mereka yang masih menuntut terutamanya para pelajar? sudah pasti merasai kesan daripada kenaikan ini. Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang senang mungkin tidak terasa kesannya. Tetapi bagaimana mereka yang datang daripada keluarga yang susah seperti petani, nelayan dan sebagainya sudah pastilah akan amat merasainya.

Dalam isu ini, pihak kerajaan tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai korban. Sepatutnya pihak kerajaanlah yang terlebih dahulu berkorban untuk rakyat. Apa guna kita melaungkan slogan "bekerja untuk rakyat" walhal realitinya rakyatlah yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas demi mencari kos untuk sara hidup sebaliknya para pemimpin hidup di dalam keaadan mewah lagi memewahkan.

0 comments: