Monday, March 13, 2006

Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari324H (SIRI 1)

Setelah beberapa isu yang berkaitan isu semasa yang saya sentuh pada tulisan yang lepas, pada tulisan kali ini insyaAllah saya kembali menyentuh isu yang berbentuk ilmiah sedikit. Pada tulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang satu tulisan yang berbicara tentang seorang tokoh yang sudah pasti dikenali umum. Beliau ialah Al-Imam Abu al-Hassan al-Asya'ari (324H).

Kita secara umumnya mengetahui bahawa ramai dikalangan kita apabila ditanya apakah aqidah yang dianuti, maka sudah pastilah ada dikalangan kita yang menjawab mereka berpegang pada aqidah 'Asya'irah. 'Asya'irah adalah disandarkan pada nama beliau iaitu Abu Hassan al-Asya'ari. Namun secara tuntasnya adakah kita benar-benar mengenali siapa dia sebenarnya Al-Imam Abu Hassan Asya'ari ini? dan apakah iktikad yang dipegang oleh beliau?Adakah beliau berpegang pada akidah yang menta'wil sifat-sifat Allah seperti "istiwa" yang dita'wilkan sebagai kuasa ataupun beliau berpegang pada akidah salafus soleh yang berpegang teguh pada setiap khabaran dari Allah ta'ala tentang sifat-sifatnya dan khabaran dari Rasulullah tanpa menta'wilkannya?

Namun kita tidak menafikannya bahawa ada dikalangan kita yang betul-betul memahami siapa dia Al-Imam Abu hassan Asya'ari ini dan apakah iktikad beliau. Tulisan ini hanyalah untuk berkongsi dan mengenali siapakah tokoh yang asyik kita berbicarakan ini.

Nama sebenar beliau adalah Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak, Abu al-Hassan dari keturunan sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy'ari. Beliau dilahirkan pada tahun 260 H. Seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab para ulama, mereka menyatakan bahawa Imam Abu Hassan al-Asya'ari telah melalui beberapa peringkat aqidah seperti berikut:
  • Aqidah Muktazilah yang kemudian bertaubat daripadanya
  • Setelah keluar daripada Muktazailah beliau telah mengisbatkan sifat al-Aqliyyah yang tujuh iaitu Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sami', Basar dan Kalam. Beliau masih menta'wil(mengubah) sifat-sifat khabariah yang disebutkan di dalam al-Quran sepeti muka, dua tangan, tapak kaki dan lain-lain.
  • Diakhir hayatnya beliau kembali kepada aqidah ahlu sunnah wal jamah iaitu mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak mentasybihkan sifat-sifat Allah, iaitu mengikut jalan salafus soleh yang mengikuti al-Quran dan sunnah

Al-Imam Ibn Kathir (774 H) di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah(jilid 11 m/s 139) menukilkan dari Bn Khalikan menyatakan bahawa Abu Hassan al-Asya'ari pernah duduk di dalam majlis syeikh Abi Ishaq al-Mawarzi. dan adalah Imam al-Asy'ari muktazilah kemudian dia telah bertaubat daripadanya di atas mimbar Jami al-Basrah sambil menyebutkan keburukan dan kesalahan muktazilah.

Al-Subki (771 H) di dalam al-Tabaqat al-syafieyyah al-Kubra(m/s347) menyatakan Imam Abu Hasan al-Asya'ari pada mulanya berguru dengan Abu Ali al-Jubbai dan mengikutinya dalam aqidah Muktazilah. Beliau berpegang dengan mazhab Muktazilah selama 40 tahun sehingga beliau menjadi seorang Imam dalam Muktazilah. Tatkala Allah mengkehendaki untuk menolong agama-Nya maka Allah menerangkan hatinya untuk mengikuti kebenaran. Kemudian beliau duduk di dalam rumahnya selama 15 hari. Selepas itu beliau keluar ke masjid Jami' dan naik ke atas mimbar untuk memberitahu bahawa beliau telah bertaubat dari aqidah Muktazilah.

Bersambung...

(ikuti seterusnya, Apakah yang menyebabkan Abu Hassan Asya'ari keluar dari Muktazilah)