Wednesday, November 29, 2006

Bila Masa Al-Arqam Mati?

Baru-baru ini 100 orang pengikut Al-Arqam ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Tangkapan itu dibuat kerana dikatakan ada usaha untuk menghidupkan kembali pergerakan itu yang diharamkan sejak 1994. Namun bagi saya bila masa pergerakan ini "mati"?

Setahu saya walaupun Al-Arqam telah difatwakan sesat pada 1994 oleh majlis agama, serta penangkapan Ketuanya Ustaz Ashaari Muhammad dibawa akta ISA serta dibuang negeri ke labuan pergerakan masih digerakkan oleh pengikut setia Ustaz Ashaari.

Bagi yang tidak cuba mengetahui mungkin menganggap bahawa pergerakan itu telah mati akibat pengharamannya, namun bagi yang memerhati pasti mengetahui bahawa pergerakan itu masih bergerak oleh pengikut setia pergerakan tersebut walaupun telah difatwakan sesat. Kalau tidak mengapa baru sekarang pihak jabatan agama baru mengetahui bahawa syarikat Rufaqa' coorperation itu milik Al-Arqam? sedangkan sudah lama syarikat itu beroperasi sehingga boleh tertubuhnya bandar rufaqa di rawang selangor.

Banyak produk-produk yang dihasilkan telah bertebaran diseluruh negara sehingga ke IPT sekalipun. Dan ada juga pelajar-pelajar di IPT menjadi pengikut setia pergerakan tersebut. Pengalaman saya juga pernah beberapa kali melawat ke bandar rufaqa' dan mempunyai beberapa orang teman yang menjadi pengikut Al-Arqam serta melihat sendiri perjalanan urusan pergerakan tersebut di sana dengan menghadiri beberapa program yang di anjurkan. Bahkan kumpulan nasyid yang ditubuhkan oleh Al-Arqam sendiri telah mendapat sambutan oleh orang ramai.

Kalau pihak jabatan agama benar-benar melakukan kerja untuk membanteras penyelewengan akidah umat islam pasti mereka dapat mengetahui bahawa Al-Arqam masih terus digerakkan oleh pengikut taksub Ustaz Ashaari Muhammad walaupun telah difatwakan sesat sejak 1994. Tepuk dada tanya iman wahai Jabatan Agama.

Monday, November 20, 2006

Cari si Pencarian

Walaupun pelbagai alasan dan halangan kepada keperluan tuntutan ilmu, namun sesungguhnya manusia memang "membutuhkan" ilmu. Sepertimana manusia memerlukan makanan untuk kelangsungan hidup, begitu jugalah dengan keimanan yang amat "membutuhkan" ilmu sebagai pelengkap. Seandainya keimanan tidak di pupuk dengan ilmu, maka ibarat tanaman yang layu bahkan hancur.

Al Imam Ahmad menyatakan : "Manusia sangat memerlukan ilmu dari sekadar menyantap makanan dan minuman, kerana makanan dan minuman diperlukan oleh manusia sekali atau dua kali dalam sehari. Sedangkan ilmu diperlukan setiap saat." (Thobaqot Al Hanabilah 1/147)

Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam bersabda : "Barangsiapa yang mempelajari ilmu dari apa-apa yang dia cari dengannya wajah Allah Azza wa Jalla. Tidaklah dia belajar kecuali untuk memperoleh bahagian dari dunia, maka dia tidak akan mencium wangi syurga pada hari kiamat." (HR Ibnu Majah, Al Muqadimah 1/252 dan Ahmad, AlMusnad2/338)

Sesungguhnya diantara sifat-sifat penuntut ilmu yang diajarkan oleh rasulullah Shallallahu' alaihi wasallam adalah ikhlas dalam menuntut ilmu. Sebab dengan keikhlasan ini akan menghantarkan seseorang kepada tingkatan hamba yang sangat perlu kepada ilmu dan membentenginya dari riya' (ingin dipuji oleh orang lain) dan sebagainya.

Sesungguhnya orang yang tidak berilmu tidak mengetahui hakikat keimanan dan ketaqwaan. Dan tidak mengetahui pula jalan untuk menuju keselamatan berdasarkan ilmu dan keyakinan yang mantap. Tentu saja hal ini semakin membuka peluang bagi syaitan untuk menggiring orang tersebut kepada kemaksiatan dan kesesatan. Tatkala kebodohan telah bermerajalela, maka akan meningkat pula kemaksiatan, kriminasi, cinta kepada dunia yang malampau dan takut kepada kematian.

"Dan mereka yang berjihad pada (jalan) Kami pasti Kami berikan petunjuk kepada mereka tentang jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik."(Surah Al-`Ankabut: Ayah 69)

wallahua'lam

Saturday, November 18, 2006

Gemparkan Tindakan

Bukan hanya gempar dimulut tapi gemparkan tindakan

Perbahasan dan penangguhan perhimpunan agung UMNO selesai semalam. Apa yang tertarik di dalam perhimpunan tersebut ahli-ahli dan pemimpin mereka bertekad untuk mempertahankan Islam dan menolak sebarang unsur-unsur yang boleh menganggu gugat kedudukan islam.

Daripada pucuk pimpinan, sayap pemuda dan wanita, sayap puteri juga tidak ketinggalan untuk mempertahankan kesucian islam. Cara bagaimana untuk mempertahankan wallahua'lam. Dewan perhimpunan tersebut bergema dengan ucapan untuk mempertahankan Islam daripada kumpulan-kumpulan yang merendah-rendahkan.

Namun seperti diketahui umum, kegemparan ini seringkali hanya berlaku di dewan perhimpunan tersebut. Tindakan yang sepatutnya diambil belum diketahui akan berlaku seperti yang diucapkan. Kalau tidak, tidaklah isu-isu agama berlarutan sampai sekarang. Belum diketahui apa-apa jaminan untuk diambil tindakan.

Namun kita berdoa dan berharap, apa yang telah diucapkan oleh pemimpin-pimimpin dan ahli UMNO akan bertindak seperti mana yang diucapkan dengan penuh berapi sepanjang perhimpunan agung mereka. Agar tidak tergolong dalam golongan yang hanya pandai bercakap tetapi tindakannya kosong.

Wednesday, November 15, 2006

Rangkuman

Dr Asri Zainul Abidin dilantik Mufti Perlis

Tahniah di atas perlantikan Dr Asri Zainul Abidin sebagai mufti perlis yang berkuatkuasa 1 November lalu. Semestinya perlantikan beliau akan meggamitkan pelbagai reaksi oleh pelbagai pihak kerana kelantangan beliau membela sunnah Nabi sallahua'laihiwassalam dari sebarang unsur kesalahfahaman orang ramai.

Diharap beliau dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dengan mempertahankan kesucian Islam dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dan membanteras pelbagai gejala perosak seperti maksiat dan hiburan melampau yang semakin menular di negara ini.

Boleh Diharapkah UMNO untuk membela Agama dan Umat?

Perhimpunan Agung UMNO kembali untuk tahun ini. Sudah pasti menarik pelbagai pihak untuk mengikuti perkembangan yang semakin serabut di dalam parti UMNO. Sepertimana yang sedia maklum. Suara-suara kelantangan pemuda, wanita mahupun puteri sudah kedengaran dengan pelbagai isu yang dikupas.

Namun tidak dapat tidak, kita dapat perhatikan medan perhimpunan ini tidak lebih daripada medan untuk memuja dan memuji para pemimpin yang kononnya bersih dari sebarang dosa kecil mahupun besar. Sudah pasti ketiga-tiga sayap UMNO ini tidak berani untuk menegur pemimpin mereka walaupun sudah terang-terangan wujudnya kecelaruan diperingkat pemimpin mereka.

Agenda Melayu pasti dijangka hebat untuk diperbahaskan. Namun yang pasti isu yang paling mendapat perhatian besar adalah isu ekonomi semata-mata. Isu bagaimana untuk memperkayakan orang melayu walaupun yang kaya hanya pemimpin-pemimpin mereka. Isu pembelaan agama, masalah umat islam melayu, kedudukan islam dalam perlembagaan mungkin disentuh tetapi hanya sisipan sahaja untuk menyedapkan hati orang melayu, namun sudah pasti tidak diberikan fokus walha isu ini amat mengancam kedudukan orang islam/melayu.

Datuk Azhar Mansur belum umum status agamanya

Berkenaan isu pembaptisan orang islam ke dalam agama kristian masih hangat. Akhbar hari ini mengatakan Datuk Azhar Mansur telah membuat laporan ke balai polis kerana namanya dikaitkan dalam isu ini. Tetapi semenjak isu ini hangat diperkatakan beliau tidak pernah mengatakan tentang status agamanya. Kalau benar-benar beliau tidak terlibat di dalam program pembaptisan tersebut kenapa beliau tidak menafikan yang beliau telah murtad? itu yang menghairankan.

Namun isu ini bukanlah isu baru, sudah lama mufti perak mengumumkan sudah ramai orang islam di negara ini telah murtad. Namun setakat hari ini masih belum diadakan siasatan rapi untuk membendung masalah ini. Diharapkan isu pembaptisan ini adalah isu khabar angin semata-mata, namun kalau sebaliknya hendak umat islam di negara sedar dan bertanggungjawab untuk membendung masalah tersebut.

Monday, November 13, 2006

Kurang waktu!

Tidak sempat meng"update"kan blog pada waktu terdekat ini. Mungkin ada perkara yang perlu diutamakan. Namun coretan ilmiah akan terus dicoretkan selagi ada waktu dan upaya. Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai isu yang berlaku sama ada di dalam negara mahupun luar. Yang lebih menarik isu di dalam negara.

Semalam sempat saya membaca majalah I (keluaran november). Majalah I merupakan majalah yang mula mendapat perhatian kerana pelbagai isu ilmiah yang dibentangkan. Salah satunya terdapat tulisan oleh Dr Asri Zainul Abidin. Tulisan beliau banyak mencetuskan kontroversi bagi mereka yang berada di dalam bidang agama terutama mereka yang tidak sehaluan dengan pemikiran beliau. Namun bagi saya kita perlu lihat setiap ilmu dan rujukan yang diberikan oleh beliau sama ada bertepatan dengan Al-Quran dan Al-hadis serta membuat penilaian yang waras.

Bulan ini beliau mencoretkan berkaitan kesan negatif terhadap taksub mazhab. Antara hujah beliau mengatakan antara kesan negatif ialah akan menyebabkan umat islam berfikiran sempit dan jumud apabila taksub terhadap satu-satu mazhab. Bagi saya ini ada satu kebenarannya dan inilah yang sedang berlaku terhadap masyarakat kita. Masyarakat kita susah untuk menerima sesuatu hukum apabila bertentangan dengan mazhab yang dipegang walaupun hujah yang dikemukakan adalah berdasarkan nas yang soheh. Dan pelbagai lagi hujah yang dikemukan oleh Dr Asri, maka boleh dapatkan majalah I keluaran November.

Berkaitan isu pembaptisan orang Islam yang berlaku di Ipoh baru-baru ini, banyak mendapat perhatian orang ramai. Walaupun berita tersebut belum diketahui kesohehannya, namun kita perlu memberi perhatian terutama pihak berkuasa dan kerajaan. Isu ini tidak akan berhenti dengan cakap-cakap orang ramai tanpa ada tindakan oleh pihak berkuasa. Pihak kerajaan mahupun pemimpin setempat harus memberi keterangan kepada orang ramai tentang isu yang melanda umat islam di Malaysia ini.

Tuesday, November 07, 2006

Jangan Remehkan Perkara Dalam Agama (3)

4.Jika pembahagian ini dilakukan bertujuan untuk meremehkan perkara-perkara yang mereka anggap sebagai furu'm maka ini adalah sebesar-besar kebatilan, kerana Allah memrintahkan kita untuk memeluk agama ini keseluruhan.

" Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi mu" (albaqarah:208)

Menafsirkan ayat di atas, ibnu Abbas berkata:" As-Silmi itu adalah Islam, sedangkan Kaafah maknaya adalah keseluruhan ". Berkata Mujahid:" Amalkanlah seluruh amalan dan seluruh kebaikan". Juga berkata Ibnu Kathir: " Allah memerintahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman dan yang membenarkan Rasulullah Sallauhu 'alaihi Wassalam agar mengambil seluruh syariat-syariat Islam. mengamalkan seluruh perintah-perintahNy a dan meninggalkan seluruh yang dilarangNya" .

Demikianlah para ulama menafsirkan ayat di atas. yakni ambillah dari syariat islam ini secara keseluruhan. Jangan memilih-milih atau mengambil sebahagian dan meremehkan sebahagian lainnya.Kita wajib mengambilnya secara keseluruhan sebagai agama Allah yang mulia dan kita wajib menghormatinya.

wallahua'lam

Monday, November 06, 2006

Jangan Remehkan Perkara Dalam Islam (2)

2. Pembahagian ini merupakan pembahagian yang tidak asalnya. Dalam hal ini kita dengarkan ucapan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah: " Adapun pembahagian agama ini dengan istilah masalah furu' dan usul adalah pembahagian yang tidak ada asalnya. Pembahagian itu tidak berasal dari para sahabat, para tabi'in mahupun yang mengikuti mereka dengan ihsan, dan tidak pula dari para imam kaum muslimin. Istilah ini sesungguhnya diambil dari kaum muktazilah dan yang sejenis dengan mereka dari ahlul bid'ah. Kemudian istilah tersebut dipakai oleh sebahagian ahlu fiqh dalam kitab-kitab mereka, padahal pembahagian ini sangat kontradiktif " . (Masail Maridiniyah, hal. 788; Lihat Dlaruratul Ihtimam, Syaikh Abdus Salam bin Barjas, hal. 111).

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata ketika membicarakan pembahagian agama menjadi usul dan furu': " Semua pembahagian yang tidak dapat dibuktikan dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta prinsip-prinsip syariat. Hal itu adalah pembahagian yang batil dan harus dibuang. Kerana pembahgian seperti ini adalah salah satu dari dasar-dasar kesesatan umat ". (Mukhtasar ash-Shawaiqul Mursalah, 2/415).

3. Tidak ada definisi yang disepakati oleh mereka sendiri, manakah yang dimaksudkan usul dan mana yang furu'. Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyah di atas, pembahagian ini sangat kontradiktif. Ketika kita tanyakan kepada mereka apakah yang dianggap sebagai usul ternyata mereka sendiri berselisih pendapat. Sebahagian mereka menganggap masalah keyakinan (aqidah) sebagai usul dan masalah amaliyyah (ibadah) sebagai furu'. Kalau demikian apakah mereka menganggap bahawa solat sebagai masalah furu'? padahal seluruh umat islam mengerti bahawa solat adalah merupakan salah satu prinsip pokok ajaran islam.

Sebahagian yang lain mengatakan bahawa yang merupakan usul adalah perkara-perkara yang meyakinkan (mutawatir) sedangkan yang tidak mutawatir dianggap sebagai perkara furu' yang meragukan. Ini pun terbantah kerana masalah keyakinan itu berkaitan dengan ilmu, sehingga berbeza-beza pada setiap orang. Bagi para ulama yang mengerti ilmu hadis, mereka sangat yakin terhadap seluruh hadis sahih, apakah ia mutawatir atau tidak?

Sebahagian yang lain mengatakan bahawa perkara usul adalah perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara-perkara yang tidak wajib dianggap furu'. Kalau begitu apakah boleh kita meremehkan perkara yang tidak wajib?

Sebahagian lagi mengatakan bahawa yang merupakan perkara usul adalah masalah yang disepakati oleh para ulama. Sedangkan masalah furu' adalah masalah yang diperselisihkan oleh para ulama. Bahkan sebahagian lainnya menyatakan bahawa masalah merupakan pokok agama ini adalah berjuang mencapai kekuasaan melalui sistem demokrasi sehingga mengorbankan prinsip akidah, ibadah dan akhlaq tanpa cuba untuk mengimbanginya.

Akhirnya setiap aliran yang ingin meremehkan suatu masalah akan mengatakan masalah itu adalah maslah furu' semata-mata.

bersambung...

Sunday, November 05, 2006

Jangan Remehkan Perkara Dalam Islam!

Dalam masalah penerapan sunnah sering dilontarkan syubhat-syubhat yang menyebabkan umat enggan dan tidak bersemangat untuk mengamalkannya. Diantaranya syubhat berikut ialah meremehkan masalah fiqh dan hukum-hukum syariat dan menganggapkannya perkara remeh dan simpel. Mereka menganggap pelajaran seperti tauhid uluhiyyah, fiqh syariat dan lain-lain sebagai kulit (qusyur) dan bukan inti (lubab) dari ajaran agama ini. Atau mereka menganggapnya sebagai furu' (cabang) dan bukan perkara usul (pokok).

Para ulama membantah syubhat mereka ini dari beberapa sisi:

1. Jika pembahagian tersebut bertujuan hanya untuk mementingkan yang usul dan meremehkan yang furu', maka ini adalah pembahagian yang batil. Kita katakan kepada mereka: " tidak ada dalam agama ini perkara yang remeh" seperti dikatakan oleh Imam Malik. Pada suatu saat Imam Malik pernah ditanya dengan suatu pertanyaan, kemudian beliau menjawab: " saya tidak tahu ". Mendengar jawapan ini si bertanya terheran-heran dan berkata: " sesungguhnya ini adalah masalah yang simpel, dan aku bertanya tentang hal ini semata-mata kerana ingin memberitahu kepada si Amir (penguasa) ". Melihat hal ini, Imam Malik marah lalu berkata: " Kau katakan ini masalah simpel dan remeh? tidak ada dalam agama ini perkara yang remeh! Tidakkah kau mendengar ucapan Allah ta'ala " Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. (Al-Muzammil: 5)

Oleh kerana itu seluruh ilmu agama ini semuanya berat, khususnya kerana akan dipertanyakan pada hari kiamat ( Tartibul Madariq, Qadli 'lyadl 1/184; Lihat Dlarurarul Ihtimam bis Sunnatin Nabawiyyah, hal. 118)

Perhatikanlah ucapan Imam Malik di atas, bahawasanya perkara agama ini semuanya penting dan berat kerana akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ucapan itu cukup sebagai membantah terhadap syubhat yang membahagi-bahagikan agama ini menjadi Qusyur wa Lubab (kulit dan inti), kemudian mereka meremehkan perkara yang mereka anggap qusyur. Demikian pula sebahagian yang lain yang membahagi agama inimenjadi Usul wal Furu' (pokok dan cabang) yang memnganggap remeh masalah furu' dengan kalimat yang banyak diucapkan seperti: " Inikan masalah furu', kenapa perlu diajarkan? " atau kalimat: " Janganlah kalian sibukkan dengan masalah furu " dan lain-lain.

Ahlu bid'ah selalu sinis terhadap ahlu sunnah yang sentiasa mengkaji, mempelajari, menulis masalah-msalah fiqh seperti gerakan-gerakan solat atau masalah-masalah fiqh lainnya dan mencemohkan mereka dengan kalimat-kalimat di atas.

bersambung........

Thursday, November 02, 2006

Perjuangan Menggamit Memori!

Baru semalam sempat juga menghadiri perbincangan program ihtifal Taski ABIM daerah Besut dan beberapa program IOA. Walaupun dalam keaadan mengejar masa, dapat juga menikmati kemesraan dikalangan sahabat jemaah melalui program usrah yang paling luar biasa sifatnya. Pelbagai topik perbincangan yang secara spontan dibicarakan, dari isu negara sampailah ke peringkat antarabangsa. Cukup terhibur maklumlah ramai antara mereka sudah berbelas tahun bersama ABIM.

Di dalam kesibukan ini juga, dapat menjengah perkembangan sahabat-sahabat di UIA dulu melalui blog-blog mereka. Namun ramai yang sudah tidak terhubung. Apa khabarkah mereka? adakah masih berada dalam arus perjuangan? wallahua'lam. Namun yang pasti masih terdapat sahabat-sahabat yang tidak meminggirkan diri dari perjuangan walaupun dalam kekangan untuk memulakan kerjaya masing-masing. Dan pasti yang ada sedang membina keluarga yang bahagia.

Tiba-tiba tergamit memori bersama-sama dahulu. Di dalam menongkah permulaan mengenal erti perjuangan. Mencari kepastian hala tuju perjuangan yang perlu dibawa. Mengharungi arus onak, mehnah mahupun tribulasi. Semangat, kecewa, putus asa, bangkit dan sebagainya sudah menjadi kata-kata azimat. Perjuangan yang tidak mengenal erti undur dan berpatah aral, terus melangkah hingga ke titisan yang terakhir yang belum tahu di mana penghujungya. Memori yang sukar dilupakan bahkan menjadi panduan di masa yang akan datang. Didoakan agar terus berkekalan kepada sahabat-sahabat sekalian.

Wednesday, November 01, 2006

Kebenaran itu kucari!

Buat kali kedua diri ini terkaku membuka blog ini. Apa yang perlu kucoretkan. Kegelisahan masih terselubung disebalik perasaan. Bahkan makin kuat menjalar disegenap perasaan. Kegelisahan yang tidak pernah kuduga akan kurasai. Kegelisahan disebalik perjuangan yang berkobar-kobar. Apakah ia akan dapat mengatasi, agar terus dapat dihalusi.

Sudah dapat kuduga, perjuangan ini banyak dugaannya. Apatah lagi ditempat sendiri. Penuh dengan onak dan duri. Apatah lagi seolah rasa terasing diri. Namun akan ku terus menyesuaikan diri. Perjuangan yang Haq harus dibentengi dengan keberanian. Keberanian yang sudah sekian lama sebati di dalam diri. Namun masih perlu digilapi, agar dapat terus dijuangi.

Biarlah ada manusia tidak menyukai perjuangan ini, bahkan terasa iri hati. Kerana sedikit bertentang adat dan nafsu diri. Namun kebenaran akan terserlah kembali, mengatasi kekeliruan di hati. Akan kembali suatu hari nanti. Perjuangan yang tulus, suci dan murni berpaksikan dua wasiat Nabi. Sudah pasti Al-Quran dan As-Sunnah yang suci. Kepada Allah ku bergantung diri. Walllaua'lam